am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang akan memutuskan pelantikan pengerusi gabungan itu esok.
Beliau menegaskan BERSATU akan terus komited kepada perjuangan PN.
“Saya akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN esok yang akan memutuskan pelantikan Pengerusi PN serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pengukuhan dan pemerkasaan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin berkata, BERSATU menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi menyusun semula bahagian-bahagian dan sayap parti yang terbabit dengan peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasanya.
Beliau berkata pasukan itu akan dipengerusikan bersama oleh dua Naib Presiden iaitu Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula akan bertindak sebagai sekretariat Pasukan Petugas Khas.
Beliau berkata ketua-ketua Badan Pimpinan Negeri turut diarahkan untuk mengenal pasti bahagian-bahagian yang terbabit.
“Penyusunan semula bahagian-bahagian ini akan membabitkan pemangkuan jawatan Ketua Bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu mengikut perlembagaan parti.
“Sayap-sayap parti yang terbabit dengan peletakan jawatan juga akan disusun semula melalui pemangkuan atau pembentukan jawatankuasa yang baharu,” katanya.
Muhyiddin juga menaruh keyakinan BERSATU mempunyai barisan pelapis dan ahli-ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan parti.
“Saya yakin ramai ahli BERSATU yang setia dengan perjuangan parti akan tampil ke hadapan untuk menggalas amanah ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




