Hampir 200 rakyat Asia Tenggara dikesan berkhidmat sebagai tentera Israel – Data IDF

Hampir 200 rakyat Asia Tenggara dikesan berkhidmat sebagai tentera Israel – Data IDF

Bangkok: Hampir 200 rakyat Asia Tenggara adalah antara lebih 50,000 anggota tentera Israel yang memegang lebih daripada satu pasport, menurut data rasmi yang diperoleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel.

CNA melaporkan terdapat 111 warga Filipina, 71 warga Thailand, empat warga Vietnam, dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia yang menyertai tentera Israel setakat Mac 2025, berdasarkan angka yang diperoleh NGO Hatzlacha, sebuah perkhidmatan perubatan kecemasan sukarela, menerusi Undang-undang Kebebasan Maklumat Israel.

Mereka dari Amerika Syarikat membentuk kumpulan terbesar anggota tentera Israel yang memegang dua atau lebih kewarganegaraan.

Sekurang-kurangnya 12,135 daripada mereka memiliki dwikewarganegaraan Israel-AS, manakala 1,207 lagi memegang sekurang-kurangnya satu pasport tambahan.

Kumpulan terbesar seterusnya adalah dari Perancis (6,464 yang memegang dua atau lebih kewarganegaraan), Rusia (5,169), Jerman (4,193) dan Ukraine (3,266).

Dalam kalangan warga Asia yang direkodkan dalam data Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang dikeluarkan dan dilaporkan minggu lalu, terdapat 201 pemegang pasport India, 76 Jepun, masing-masing sembilan dari Hong Kong dan Korea Selatan, tujuh dari China, tiga dari Taiwan serta masing-masing dua dari Nepal dan Sri Lanka.

Pakar berkata data IDF itu menimbulkan persoalan mengenai liabiliti undang-undang warga asing terbabit dalam konflik Gaza, yang telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Israel melancarkan serangan ketenteraan di Gaza selepas Hamas melancarkan serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan 251 sebagai tebusan, menurut angka Israel.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan kerjasama Qatar dan Mesir, merundingkan gencatan senjata pada Oktober 2025.

Kira-kira dua dozen pemimpin dunia atau pegawai kanan kini berhimpun di Washington untuk merasmikan Lembaga Keamanan yang diterajui AS, yang memberi tumpuan kepada pembinaan semula Gaza, namun dengan cita-cita yang lebih luas.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa sedang menyiasat dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan di Gaza.

Secara berasingan, dakwaan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di Gaza sedang diperiksa di International Court of Justice dalam kes yang difailkan oleh Afrika Selatan.

Setakat ini, tiada sabitan dilaporkan terhadap individu berkewarganegaraan dua bagi jenayah perang di Gaza.

Bagaimanapun, aduan undang-undang telah difailkan di beberapa negara, termasuk Perancis, Itali, Afrika Selatan dan Belgium, dan sebahagian pihak berkuasa telah membuka siasatan awal.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan CNA, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) berkata pihaknya maklum mengenai laporan media asing yang menyatakan dua rakyat Singapura adalah antara mereka yang berkhidmat untuk IDF semasa konflik di Gaza.

“MHA tidak mempunyai sebarang maklumat yang disahkan setakat ini bahawa mana-mana rakyat Singapura sedang/pernah berjuang sebagai sebahagian daripada IDF,” tambah jurucakap itu.

Singapura tidak membenarkan dwikewarganegaraan, namun golongan bawah umur boleh memegang dua pasport sehingga berusia 21 tahun.

Kerajaan juga boleh menangguhkan permohonan untuk melepaskan kewarganegaraan sekiranya seorang warganegara lelaki belum melaksanakan tanggungjawab Perkhidmatan Negara (National Service).

Sebagai respons terhadap data yang diperoleh Hatzlacha, kementerian luar Indonesia pada Selasa (17 Feb) berkata ia tidak dapat segera mengesahkan atau menafikan laporan mengenai individu berkenaan, namun bersedia untuk berkoordinasi lanjut dengan kementerian undang-undang dan mengambil tindakan susulan selaras dengan undang-undang berkaitan, lapor Jakarta Globe.

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan menyokong kemerdekaan Palestin.

Negara itu juga merupakan sebahagian daripada Lembaga Keamanan yang diterajui Amerika Syarikat.

Indonesia tidak mengiktiraf dwikewarganegaraan bagi orang dewasa dan mereka yang secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain boleh kehilangan taraf kewarganegaraan Indonesia.

Anak hasil perkahwinan campur dibenarkan memegang dwikewarganegaraan, namun mereka mesti memilih satu sebelum berusia 21 tahun.

Sebarang tindakan oleh Jakarta bergantung kepada pengesahan status kewarganegaraan individu terbabit sebelum mempertimbangkan langkah undang-undang atau diplomatik, kata Muhammad Zulfikar Rakhmat, pengarah meja Indonesia-MENA di Centre for Economic and Law Studies (CELIOS).

“Warganegara Indonesia tidak dibenarkan berkhidmat dalam tentera asing kecuali dengan kebenaran kerajaan,” katanya, sambil menambah kerajaan perlu mengambil pendekatan berbeza sekiranya individu itu dikerah menyertai tentera Israel.

Undang-undang perkhidmatan ketenteraan wajib Israel mengecualikan individu berkewarganegaraan dua yang menetap di luar negara, lapor Al Jazeera.

Di Filipina, dwikewarganegaraan dibenarkan dan undang-undang negara itu tidak secara automatik menganggap perkhidmatan dalam angkatan tentera asing sebagai satu kesalahan jenayah.

Thailand juga membenarkan dwikewarganegaraan, dan undang-undang Thailand tidak mengkriminalkan perkhidmatan dalam angkatan tentera asing dalam keadaan umum.

Kementerian Luar Thailand memberitahu CNA pada 19 Feb bahawa pihaknya tidak menyelenggara pangkalan data individu yang memegang dwikewarganegaraan.

Pangkalan data pendaftaran sivil berada di bawah seliaan Biro Pentadbiran Pendaftaran di Kementerian Dalam Negeri, katanya.

Pada penghujung 2023, pihak berkuasa Thailand menangani kebimbangan bahawa pekerja migran di Israel terlibat sebagai tentera aktif bagi Israel dalam perang tersebut.

Ia mengesahkan bahawa sebahagian individu berketurunan Thai dan Israel berkhidmat dalam pasukan simpanan tentera Israel dan mereka berbeza daripada pekerja migran Thai yang bekerja di rantau itu.

Selain tenaga kerja pertanian Thai, pihak berkuasa berkata terdapat kira-kira 400 hingga 500 wanita Thai yang berkahwin dengan warga Israel, dan anak-anak mereka lazimnya memegang dwikewarganegaraan.

Undang-undang Israel mewajibkan semua warganegara, lelaki dan wanita, menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib pada usia 18 tahun.

Lelaki lazimnya berkhidmat kira-kira 32 bulan, manakala wanita sekitar 24 bulan.

Selepas menamatkan perkhidmatan aktif, mereka akan memasuki sistem simpanan dan masih tertakluk untuk dipanggil semula bertugas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top