am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan ubat tuberkulosisi (tibi) di pasaran mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun kes di negara ini menunjukkan peningkatan namun ia masih terkawal.
“Tibi adalah penyakit bawaan udara tetapi tidak seperti Covid-19 dari segi kadar jangkitan (IR).
“Bagaimanapun KKM akan terus melakukan pemantauan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly mengingatkan individu yang bergejala terutamanya berada di tempat sempit supaya mengelakkan perbualan (conversation) yang panjang dan mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami batuk berpanjangan.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 85 peratus daripada kes tibi yang dilaporkan di negara ini membabitkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing.
Dr Dzulkefly berkata, persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing adalah tidak tepat berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan jumlah kes dalam kalangan warganegara lebih tinggi ketika in
Beliau berkata, tibi bukanlah fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam, sebaliknya sudah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
Katanya, sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette–Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




