am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ramadan yang tiba membuatkan empat rakyat Palestin yang berada di bumi Kelantan resah mengenangkan ahli keluarga mereka yang berada di negaranya.
Dengan situasi peperangan yang masih berlaku tanpa kesudahan, masing-masing hanya mampu berdoa ahli keluarga berada dalam keadaan baik walaupun setiap hari menerima berita ramai yang syahid.
Maher Mahmud, 36, berkata, sudah lebih dua tahun dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Sheikh Radwan kerana situasi perang yang sedang berlaku dan sempadan masih ditutup.
“Pada mulanya, saya dan isteri serta empat anak datang ke sini (Kelantan) untuk mengunjungi rakan dan mereka (isteri dan anak) pulang terlebih dahulu kerana saya perlu menyelesaikan urusan lain.
“Kemudiannya perang meletus iaitu pada 7 Oktober 2023 dan sejak itu saya tidak boleh pulang dan sehingga kini sedang menunggu masa sesuai dan sempadan dibuka.
“Sangat jarang juga dapat menghubungi ahli keluarga di sana kerana kekangan liputan selain tiada bekalan elektrik untuk mengecas telefon dan sebagai inisiatif, mereka terpaksa menggunakan tenaga solar dan itupun perlu dibayar juga,” katanya ketika ditemui di sini.
Maher berkata, situasi perang di negaranya tidak pernah berhenti seperti yang diberitahu menerusi berita atau media sosial dan semakin hebat menjelang Ramadan, malah sepupunya juga sudah terkorban pada 1 Ramadan lalu ketika pulang dari membeli juadah berbuka puasa dari pasar.
Bagi Abdullah Ismail, 40, yang sudah menetap di Kelantan lebih 10 tahun lalu pula, kali terakhir dia menghubungi keluarganya empat hari lalu untuk bertanya khabar serta mengetahui perkembangan semasa di sana.
Katanya lagi, setiap hari sebelum tidur, sudah menjadi rutin rakyat Gaza termasuk dirinya untuk memeriksa senarai nama rakyat Palestin yang mati syahid menerusi Facebook.
“Perasaan bercampur baur antara sedih dengan kehilangan ahli keluarga dan lega kerana mereka mati syahid yang dijanjikan syurga tempatnya malah untuk menunaikan solat Tarawih juga secara takut-takut kerana bila-bila masa saja bom boleh ‘singgah’,”katanya.
Menurut Abdullah lagi, juadah berbuka puasa di ahli keluarganya di Gaza hanyalah air minuman, roti yang dikongsi beramai-ramai serta kurma sahaja dan itu sudah mencukupi berbanding Ramadan tahun lalu yang lebih teruk sehinggakan dua atau tiga hari baru dapat makan.
Katanya, sekarang sudah ada sedikit makanan yang dibawa masuk ke Gaza tapi sangat mahal sehinggakan sebiji telur sahaja dijual dengan harga RM30.
“Begitu juga dengan kurma serta daging, memang mahal. Saya mengirimkan wang kepada ahli keluarga untuk kegunaan mereka terutama waktu Ramadan ini,” katanya.
Seorang lagi rakyat Palestin, Zuhair Omar, 37, yang turut terperangkap di sini dan belum boleh pulang ke negara asal berkata, kampungnya di As-Syijaiyah sebelum ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu mencecah 150,000 namun kini kawasan itu sudah menjadi padang jarak padang terkukur.
Menurutnya, tidak tinggal satu apapun bangunan kerana sudah dibom menyebabkan penduduk yang masih hidup terpaksa melarikan diri dan ada yang tinggal di khemah pelarian.
“Saya juga jadi saksi abang mati syahid ketika di awal perang kira-kira dua tahun lalu sebelum melarikan diri dan kini sedang menunggu masa untuk kembali pulang walaupun sudah tiada apa yang tinggal sekurang-kurangnya masih ada isteri dan anak yang kini berlindung di Mesir,” katanya.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan yang diwakili presidennya, Muhammad Izzat Zahrim Mohd Hanuzi yang menyantuni dan menyampaikan sumbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




