Susan Lankester terharu, rayu peminat faham keputusan berehat sementara

Susan Lankester terharu, rayu peminat faham keputusan berehat sementara

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Susan Lankester, menzahirkan rasa hiba dan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan luar biasa daripada peminat setia siri popular Keluarga Iskandar yang kini masuk musim ketiga.

Menerusi hantaran di Instagram Story miliknya, pelakon yang cukup dikenali dengan watak Kamariah Abdullah atau Kak Ngah itu mengakui menerima lambakan mesej positif dan ungkapan kasih sayang daripada penonton selepas watak ikonik itu ‘dimatikan’ dalam episod terbaharu siri berkenaan.

Walaupun ramai yang merindui kemunculannya di televisyen, Susan menjelaskan bahawa dia masih memerlukan waktu untuk diri sendiri.

“Saya ingat selepas setahun saya berehat, saya akan masuk balik industri kita. Tetapi saya belum sedia. Saya masih mahu rehat dan cari ilmu lagi,” tulisnya.

Dia turut memohon peminat agar memahami keputusannya untuk terus berehat daripada dunia lakonan buat sementara waktu.

Meskipun memilih untuk menjauhkan diri seketika daripada radar seni, Susan memberi jaminan bahawa persaraannya ini bukanlah sesuatu yang kekal. Dia berjanji akan kembali beraksi apabila tiba masanya nanti.

“Tolong izinkan saya. Saya akan kembali apabila tiba waktu yang sesuai,” katanya.

Untuk rekod, watak Kak Ngah dalam Keluarga Iskandar sejak musim pertama meninggalkan impak yang cukup mendalam kepada penonton tempatan kerana kualiti lakonan Susan yang bersahaja namun penuh karisma.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top