am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan menzahirkan dukacita atas pemergian anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mendiang Truper K Indiran yang berkhidmat kepada negara hingga ke akhir hayatnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mendiang adalah anak kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendiang Lt Kol C Kayamboo yang terkorban ketika menjalankan tugas pada 2016.
“Puan S Usha, ibu kepada mendiang Indiran bersama keluarga, sekali lagi diuji dengan kehilangan insan tersayang yang sudah mengabdikan khidmat kepada negara.
“Pengorbanan sebuah keluarga yang menyerahkan bukan seorang tetapi dua insan tersayang kepada tanah air adalah satu pengorbanan yang tidak akan dapat dibalas mahupun dibandingkan dengan apa jua cara sekalipun,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih yang mendalam kepada keluarga mendiang serta memohon rakyat Malaysia supaya terus mendoakan mereka kekal cekal dan tabah menghadapi dugaan berat.
Sebelum ini media melaporkan, Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang anggota tentera ketika mengikuti kursus kru Armor Kelas 1 di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.
Mohamed Khaled dipetik berkata, langkah itu diambil bagi menyiasat secara menyeluruh berhubung kematian Indiran, 22.
Rabu lalu, Indiran yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang.
Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.
Mendiang adalah anak kepada mendiang Kayamboo, iaitu juruterbang TUDM yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.
© New Straits Times Press (M) Bhd




