Jalan TAR mula meriah, warga kota buat persiapan awal Aidilfitri

Jalan TAR mula meriah, warga kota buat persiapan awal Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemeriahan Aidilfitri kian terasa apabila orang ramai dilihat ada yang sudah mula membuat persiapan awal dan membeli pakaian raya di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.

Tinjauan di lokasi mendapati suasana di Jalan TAR meriah dengan orang ramai yang mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membuat persiapan perayaan tidak lama lagi.

Pekerja swasta, Aina Hanis Halim, 30, berkata, pembelian awal dilakukan bagi mengelakkan kekalutan saat akhir selain ia juga dapat membantunya menguruskan kewangan dengan lebih teratur.

“Ketika ini sudah banyak pilihan baju raya dan harganya juga berbaloi jadi saya memilih untuk membuat pembelian awal. Selepas ini bajet untuk kuih dan duit raya serta urusan lain pula.

“Pilihan pakaian juga ketika ini sudah banyak dengan pelbagai gaya menarik dan sebenarnya bagus juga buat persiapan awal kerana tidak terlalu ramai orang hingga perlu bersesak untuk membeli-belah,” katanya ketika ditemui di sini.

Suri rumah, Kamariah Zulkifli, 45, berkata, dia juga mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berbuka puasa di luar bersama anak tunggalnya sambil membuat persiapan Aidilfitri.

Katanya, setiap tahun mereka sekeluarga akan membuat persiapan awal kerana tidak mahu bersesak dengan pengunjung lain di saat akhir dan Jalan TAR menjadi lokasi utamanya untuk membeli-belah.

“Saya dengan anak berbuka puasa di luar dan terus ambil peluang membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri. Kami memang beli baju raya awal kerana pilihan saiz, gaya dan corak lebih banyak, jika beli lambat risau sudah tidak banyak pilihan.

“Walaupun masih di awal Ramadan namun peniaga sudah mula memberikan potongan harga walaupun bukan harga runtuh tetapi bagi saya harga ditawarkan sudah berbaloi, lagipun saya tidak mahu bersesak dengan orang ramai di saat akhir,” katanya.

Katanya, persiapan perayaan pada awal Ramadan juga membantunya menguruskan masa dan perbelanjaan lain supaya lebih teratur kerana selepas ini dia akan fokus untuk kuih raya dan mengemas rumah sebelum pulang ke kampung di Terengganu.

Sementara itu, Anis Aisyah Humairah Shahabuddin, 18, dari Gombak berkata, dia mengambil peluang meninjau kelengkapan untuk persiapan Aidilfitri supaya memudahkannya untuk membuat pilihan.

“Saya datang dengan dua rakan untuk ‘cuci mata’ saja dahulu dan biasanya saya akan beli baju raya pertengahan puasa nanti kerana ketika itu biasanya akan ada lebih banyak pilihan baju.

“Kebetulan akan dapat gaji minggu depan, mungkin saya akan ke sini lagi untuk membeli baju. Saya lihat ramai pengunjung membeli-belah walaupun baru beberapa hari berpuasa tetapi pertengahan Ramadan nanti akan lebih meriah dan mula sesak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top