bhnews@bh.com.my
Pekan : Perjalanan yang mengambil masa hampir empat jam dari Melaka bukan penghalang buat pasangan Tai Yong Fatt dan isterinya, Li Zhen Ying mengunjungi anak sulungnya yang kin mengikuti Program Latihan Khidmat Negeri (PLKN) di Rejimen 505 Kem Force, Sungai Miang, di sini.
Menurut Yong Fatt, 51, sempena Tahun Baru Cina kali ini isterinya menyediakan masakan istimewa untuk anak lelakinya, Rui Yik, 17. Katanya, pengurusan PLKN memberi kebenaran kepada keluarga untuk datang bertemu pelatih buat kali terakhir semalam sebelum tamat latihan pada 2 Mac depan.
Peluang berkenaan digunakan untuk dia dan isteri datang dengan jarak perjalanan lebih 250 kilometer (km).
“Saya dan isteri menyokong penuh anaknya menyertai PLKN kerana program berkenaan dapat membentuk mendisiplinkan, berdikari dan pergaulan dengan rakan sebaya dari pelbagai kaum yang ada di negara ini.
“Usaha kerajaan dalam melahirkan golongan remaja yang memiliki kemahiran dan pengetahuan kini dilihat semakin berjaya. Saya akan menggalakkan tiga lagi anak saya untuk menyertai PLKN pada masa akan datang,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, pada masa akan datang diharapkan lebih ramai lagi golongan remaja terpilih untuk mengikuti PLKN, difahamkan ramai dalam kalangan mereka berminat untuk menyertai program berkenaan yang mengambil masa selama 45 hari.
Bagi Chan Jy Ru, 43, dari Kuantan, ini kali pertama dia datang ke Rejimen 505 Kem Force, Sungai Miang untuk bertemu dengan anak saudaranya, Lim Hiu Foong, 17, yang kini sedang mengikuti PLKN. Pertemuan lebih menarik apabila kami dapat makan bersama sempena Tahun Baru Cina.
“Saya lihat anak saudara saya kini semakin berdisplin berbanding sebelum ini, dia juga semakin mesra dengan ahli keluarga terutama dengan dua kakaknya yang sentiasa bertanya khabar dirinya.
“Saya berharap ibu bapa dapat memberi sokongan kepada anak mereka yang terpilih menyertai PLKN, sokongan keluarga dapat meningkatkan lagi semangat golongan remaja,” katanya.
Tinjauan di Rejimen 505 Kem Force, Sungai Miang mendapati ramai keluarga Tionghua datang bertemu pelatih PLKN sambil menikmati juadah yang dibawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




