Ayob Khan imbau kejayaan operasi selamatkan peraih ikan diculik militan

Ayob Khan imbau kejayaan operasi selamatkan peraih ikan diculik militan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan menyelamatkan peraih ikan yang berasal dari Semporna, Sabah, Pang Choon Pong pada 2013 mencerminkan dedikasi dan keberanian pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) atau E8 Bukit Aman.

Berkongsi pengalaman menyelamatkan mangsa, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kehidupan seorang peraih ikan berubah apabila diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf Group (ASG) ketika berada di Pondohan Lok Angki, Sitangkai, Tawi-Tawi, Selatan Filipina pada 5 Oktober 2011.

Menurutnya, dalam sekelip mata, Pang dibawa jauh merentasi perairan berbahaya sebelum akhirnya ditahan di Wilayah Sulu, Kepulauan Jolo, sebuah kawasan yang sinonim dengan aktiviti militan bersenjata dan penculikan rentas sempadan.

“Sepanjang ditahan, Pang disembunyikan dari satu lokasi ke lokasi lain di bawah kawalan ketat ASG, bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Harapan keluarganya di tanah air terus bergantung pada khabar yang amat terhad, sehinggalah awal September 2012, apabila maklumat risikan mengesahkan Pang masih hidup dan ditahan di sebuah kem ASG di Bukit Kepang, Indanan Municipality,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Ayob berkata, di kem berkenaan, Pang bukanlah satu-satunya tebusan, sebaliknya dikurung bersama beberapa warga asing lain dan dikawal oleh kira-kira 30 anggota militan bersenjata lengkap.

“Usaha membawa pulang Pang kemduiannya digerakkan secara sulit bermula Disember 2012 hingga Mac 2013, pihak Jabatan Pasukan Petugas Khas (OPS/CT)@ E8 melalui rangkaian sumber yang mengadakan lebih 20 siri rundingan sulit dengan kumpulan penculik.

“Rundingan demi rundingan dijalankan dengan penuh kesabaran dan strategi. Pegawai Operasi kami yang terbabit dalam operasi khas ini adalah Reno, Jaybon dan Ariel,” katanya.

Beliau berkata, selepas hampir satu setengah tahun diculik, Pang berjaya dibebaskan pada 5 Mac 2013 sekali gus menamatkan episod hitam yang bukan sahaja menguji ketahanan dirinya tetapi juga kesabaran keluarga serta kecekalan pihak yang bertungkus-lumus di sebalik tabir.

“Walaupun pada peringkat awalnya, kedua-dua operasi itu dianggap hampir mustahil untuk dilaksanakan berikutan risiko keselamatan, operasi sulit di luar negara serta kawalan ketat di perairan, namun kejayaan misi ini membuktikan bahawa tiada operasi yang terlalu sukar apabila dilaksanakan oleh pegawai yang berdedikasi, proaktif dan berani memikul amanah.

“Pada masa yang sama, kejayaan misi senyap ini membuktikan bahawa kecekalan, empati kemanusiaan serta kerjasama berpasukan mampu mengatasi situasi yang kelihatan mustahil.

“Dedikasi dan keberanian pegawai-pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism)@E8 yang terbabit mencerminkan semangat sebenar pengabdian kepada tugas, di mana amanah melindungi nyawa rakyat dilaksanakan tanpa mengharapkan pengiktirafan, sebaliknya berteraskan tanggungjawab, keikhlasan dan pengorbanan demi kepentingan negara dan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top