Warga emas didakwa amang seksual budak 6 tahun

Warga emas didakwa amang seksual budak 6 tahun

am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal budak perempuan berusia enam tahun, Disember lalu.

Tertuduh, Rusli Abdul Hamid, 73, yang mempunyai masalah pendengaran membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kanak-kanak perempuan berusia enam tahun 11 bulan ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 10 pagi, bersebelahan kedai makan di Kampung Parit, Kuala Pilah pada 12 Disember lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan dan memaklumkan mangsa tidak mengenali tertuduh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 April depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top