georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Artis serba boleh, Dr Soo Wincci lebih mengutamakan persiapan Ramadan dan cuma meraikan secara ringkas Tahun Baharu Cina kali ini kerana dua tarikh penting itu jatuh berdekatan baru-baru ini.
Soo Wincci atau Wincci, 41, berkata, amalannya berpuasa yang kini masuk tahun ke-15 sangat penting dan sudah menjadi kewajipan dalam kalendar hidupnya saban tahun.
“Saya tidak sambut sangat Tahun Baharu Cina kali ini kerana saya pun sibuk dengan persembahan. Saya akui saya memang meletakkan keutamaan kepada persiapan Ramadan dan sudah sangat selesa berpuasa 15 tahun.
“Paling asas, saya persiapkan diri daripada segi pemakanan. Seminggu sebelum puasa paling penting kerana saya kena kurangkan pengambilan makanan kepada satu sajian saja.
“Kalau saya beria-ia sambut Tahun Baharu Cina tempoh hari dan makan besar, pasti sistem perut saya ‘hancur’. Menarik juga, pertama kali alami hal ini di mana saya kena memilih dan semestinya saya pilih Ramadan,” katanya kepada Harian Metro.
Walaupun bukan beragama Islam, Wincci seronok apabila saban tahun ada saja strategi baharu dipelajarinya untuk menikmati amalan puasa. Katanya, tahun ini dia memilih menu detoks untuk sajian sahurnya.
“Strategi saya sebenarnya lebih kepada mengecutkan perut. Saya banyak meneroka menu baharu terutama untuk sahur yang menjadi waktu paling penting bagi saya berpuasa dengan mudah.
“Menu saya kali ini adalah minum air campuran bunga cengkih, kulit kayu manis, limau, dan kurma yang direndam semalaman. Memang selepas itu serta-merta ke tandas dan saya perasan kulit pun makin berseri,” katanya.
Dalam pada itu, Wincci yang masih meneruskan kerjaya akademik sebagai penyelia siswazah kurang terbabit dalam mana-mana kempen keagamaan sebagaimana yang disertai pada tahun sebelumnya.
“Bukan tidak mahu, saya perasan kempen tahun ini agak kurang dan perlahan. Mungkin disebabkan ekonomi juga. Saya cuma banyak buat perjumpaan dengan pelajar-pelajar kelolaan saya,” katanya.
Wincci pernah dijemput sebagai panel ceramah mengenai keharmonian agama di Masjid Al Mursyid Gurung, Perlis, di mana dia menyatakan rasa tenang dan gembira dapat menimba ilmu mengenai Islam.
Selain itu, dia juga dilantik Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) dan aktif terbabit dalam misi bantuan serta kerja kebajikan, termasuk membantu komuniti kurang bernasib baik dan menyertai program di masjid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




