'Menyanyi adalah jiwa dan semangat saya' – Seri isteri arwah Ibnor Riza

'Menyanyi adalah jiwa dan semangat saya' – Seri isteri arwah Ibnor Riza

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Menyanyi adalah jiwa dan semangat yang diberi oleh arwah suami (Ibnor Riza) itulah yang saya bawa sehingga ke hari ini.”

Demikian kata penyanyi, Sarimah Suleiman, 54, yang kini kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi lagu raya terbaharu yang berjudul ‘Pulanglah’ terbitan Javs Production.

Sarimah atau mesra disapa Seri berkata, pembabitannya dalam lagu ini bukan sekadar projek bermusim, sebaliknya membuktikan kecintaan mendalamnya terhadap dunia seni yang tidak pernah pudar sejak remaja.

Menariknya, naskhah berkonsepkan rock balada 90-an ini menyaksikan Seri kembali berduet dengan penyanyi, Nine Umbrella, yang juga sepupunya.

“Apabila diberi peluang kedua oleh Javs Production dan diberi kebebasan memilih pasangan duet, orang pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Nine.

“Kami pernah bekerjasama pada tahun 2005. Jadi, saya rasa kami sesuai untuk berduet lagu ini dan apabila komposer lagu, Jaafar Hashim dan penulis lirik, Maznimjay dengar sendiri nada Nine, mereka pun bersetuju,” katanya kepada Harian Metro.

Lagu Pulanglah hasil ciptaan Jaafar Hashim dan penulis lirik, Maznimjay ini sengaja dicetuskan dengan ‘vibes’ 90-an bagi menyentuh emosi pendengar yang merantau jauh.

Menurut Maznimjay, lagu ini menceritakan peritnya sebuah penantian dan kerinduan insan di perantauan yang mendambakan kepulangan insan tersayang untuk kembali menyambut lebaran bersama-sama.

Meskipun sedar perjalanan dalam dunia seni tidak mudah, Seri yang sentiasa memegang amanat arwah suaminya, berharap agar lagu ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top