PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk memperkukuh nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Beliau berkata, penganjuran majlis sempena Ramadan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya bertujuan menerapkan nilai kasih sayang, perpaduan, saling menghormati, memahami dan bertolak-ansur sebagai tonggak dalam budaya kerja KDN.
“Nilai-nilai ini mesti menjadi asas dalam kerja kita di KDN, bukan hanya pada Ramadan tetapi sepanjang masa,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar warga KDN memanfaatkan Ramadan untuk bermuhasabah dan memperkukuh aspek kerohanian meskipun berdepan cabaran tugas berkaitan keselamatan sempadan, kesesakan pintu masuk dan jenayah narkotik.
Terdahulu, majlis yang bermula pada pukul 6.30 petang itu turut menampilkan Ustaz Marwan Bukhari A Hamid yang menyampaikan tazkirah Ramadan dengan dihadiri kira-kira 1,000 warga KDN termasuk agensi. – UTUSAN




