am@hmetro.com.my
Sandakan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam yang disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua penama ahli keluarganya sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Menurut sumber, suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua penama iaitu bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2022 dan rumah yang dibina atas nama bapa mentua dan adik iparnya siap pada 2023.
“Namun begitu, sehingga tahun lalu didapati rumah itu belum didiami dan ini menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima serta berpotensi menjejaskan objektif program bantuan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dengan suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




