khairil.ashraf@hmetro.com.my
Subang Jaya: Bagi menyantuni masyarakat dan berkongsi rezeki sempena Ramadan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi penganjuran Jelajah Iftar Sinar MYDIN 2026.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ini adalah tahun ketiga pihaknya menganjurkan majlis itu dengan kerjasama Sinar Harian, bagi menghargai pelanggan yang hadir ke pasar raya.
Menurutnya, Jelajah Iftar Sinar MYDIN 2026 bermula di MYDIN Subang Jaya hari ini, diikuti Mutiara Rini, Johor (25 Februari); MITC, Melaka (26 Februari); Seremban 2, Negeri Sembilan (27 Februari), Bukit Mertajam, Pulau Pinang (3 Mac); Meru Raya, Perak (4 Mac); Tunjong, Kelantan (9 Mac); Jengka, Pahang (11 Mac) dan Sejati Ujana, Sabah (16 Mac).
Beliau turut menyasarkan kira-kira 10,000 orang pelanggan MYDIN akan menyertai jelajah di sembilan tempat itu.
“Jelajah ini akan ada selama sembilan hari di sembilan tempat. Kami menyasarkan setiap satu tempat itu akan dihadiri sekurang-kurangnya 1,000 orang.
“Bagaimanapun untuk MYDIN Tunjong, berkemungkinan pelanggan yang hadir akan lebih daripada 1,000 orang.
“Kita juga menyasarkan mereka yang hadir ini terdiri daripada pelbagai kaum dan tidak semestinya umat Islam yang berpuasa sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penganjuran majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.
Mengulas lanjut, Ameer turut menyifatkan penganjuran majlis seumpama ini bukan sekadar penyediaan juadah berbuka puasa, tetapi menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
“Ini merupakan satu-satunya bulan untuk kita berbuka puasa bersama pelanggan MYDIN. Kepada mereka yang mahu berbuka puasa bersama-sama, boleh hadir,” katanya.
Menurutnya mana-mana pelanggan yang mahu hadir ke majlis ini, mereka perlu mendaftar terlebih dahulu menerusi kod QR yang boleh didapati di media sosial MYDIN.
“Perlu daftar menerusi kod QR terlebih dahulu kerana kita khuatir kalau terlalu ramai, tak cukup tempat disediakan,” katanya.
Beliau juga menjangkakan pihaknya akan meneruskan penganjuran majlis ini pada tahun hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




