am@hmetro.com.my
Tangkak: Penunggang motosikal maut selepas merempuh polis trafik yang sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kereta di Kilometer 170.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara dekat sini.
Dalam nahas pada 2.07 petang Isnin, penunggang berusia 38 tahun itu meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Jasin, manakala pegawai polis berkenaan cedera.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan mangsa dan pegawai trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
“Ketika menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kereta di lorong kecemasan, mangsa datang dari arah belakang, tidak sempat mengelak lalu merempuh pegawai polis terbabit.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa dan pegawai polis trafik cedera. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Jasin namun penunggang disahkan maut,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azmil Azwa Amir Azwa di talian 019-3058346 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




