nurul_husna@mediaprima.com.my
AWAL Ramadan menjadi detik penting penyesuaian baik daripada segi pemilihan diet dan rutin pemakanan yang sesuai.
Tentu sahaja mereka yang menjalani ibadat puasa mencari sajian sihat dan boleh membantu kekal bertenaga sehingga berbuka.
Pilihan sajian kurang sihat, terutama berminyak dan tinggi lemak, mendatangkan risiko menjejaskan kesihatan.
Sebaiknya, manfaatkan minggu awal berpuasa dengan mengatur kembali pilihan makanan harian.
Antara juadah boleh dipertimbang ialah juadah berasaskan labu kuning. Ia mengandungi serat, vitamin A, C dan antioksidan ideal bagi yang menjalani ibadat puasa.
Labu dikatakan dapat memberi kebaikan iaitu rasa kenyang lebih lama, meningkatkan imuniti dan mencegah panas dalam.
Rasa kenyang lebih lama kerana kandungan serat tinggi dalam labu membantu melambatkan proses pencernaan, membuatkan rasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan makan berlebihan ketika berbuka.
Sayuran jenis buah itu juga membantu memperkuat sistem imun tubuh, melindungi daripada radikal bebas dan menjaga kesihatan kulit serta mata.
Paling penting, kebaikan labu kuning ialah, ia memiliki kelebihan mencegah panas dalam terutamanya dalam bentuk kolak atau sup.
Pengambilan sup labu atau puri boleh membantu terutama mereka yang mengalami masalah kerongkong terlalu kering atau ulser dalam mulut.
Serat yang tinggi dalam labu pula sangat membantu melancarkan sistem pencernaan, mengelakkan sembelit yang biasa berlaku sepanjang Ramadan.
Berikut cadangan penyediaan juadah labu yang dapat memberi kebaikan kepada mereka yang berpuasa;
A. Resipi sup labu kuning panggang:
Bahan-bahan:
– 1 biji labu kuning (dibelah dua, dibuang biji dan dipanggang)
– 3 sudu besar minyak zaitun (dibahagikan) atau mentega.
– 1 biji bawang besar kuning (dicincang)
– 4 ulas bawang putih (dikisar)
– 1 sudu besar halia segar (parut).
Bahan stok:
– 4 cawan sup sayur atau ayam.
– 1/2 cawan santan penuh lemak atau krim pekat.
– Penambah perisa 2 sudu gula (mengimbangkan rasa manis)
– 1 sudu kecil garam (atau secukup rasa),
– 1/2 sudu kecil lada hitam,
– 1/2 sudu kecil kayu manis kisar
– 1/2 sudu kecil buah pala
Penyediaan:
1. Panaskan ketuhar hingga 400∞F (200∞C).
Sapu bahagian dalam labu yang sudah dibuang bijinya dengan satu sudu besar minyak zaitun dan perasakan dengan garam.
Letakkan bahagian yang dipotong ke bawah pada lembaran pembakar.
Panggang selama 30-50 minit, atau sehingga isi sangat empuk. Keluarkan isi labu selepas sejuk.
2. Tumis bahan rempah dan perasa dalam periuk besar bersama dua sudu besar minyak atau mentega di atas api sederhana.
Masukkan bawang besar dan masak sehingga lembut (5 minit).
Masukkan bawang putih, halia, kayu manis, pala dan bunga cengkih, kacau selama seminit sehingga naik bau.
3. Bahan rempah tadi campur ke dalam isi labu sudah dicampur ke bahan stok dan gula.
Biarkan mendidih selama 5-10 minit untuk membiarkan rasa sebati.
4. Gunakan pengisar untuk mengadun sehingga rata. Sebagai alternatif, pindahkan ke pengisar secara berkelompok.
5. Kemudian masukkan santan atau krim kental dan reneh selama 5 minit lagi.
Laraskan garam, lada sulah dan rasa manis secukupnya. Sedia dihidangkan.
B. Resipi kastard labu klasik Thai:
Bahan-bahannya:
– 1 labu bersaiz kecil.
– 4 biji telur
– 1 kotak kecil santan (150 liter)
– 1/2 gula melaka
– Garam
– Vanila
Penyediaannya:
1. Labu ditebuk dan bahagian dalam tengahnya dibuang dan jika terlalu tebal, kikis sedikit dan tinggalkan ketebalan isi labu sekitar satu inci (2.54 sentimeter)
2. Sediakan bahan kastard, sediakan periuk kecil atas api sederhana. Masukkan bahan seperti santan, gula melaka , garam dan vanila dikacau sehingga tekstur jadi sebati atau sedikit pekat.
3. Apabila sejuk, masukkan telur dan kacau sehingga campuran memekat atau sebati.
4. Tuang kastard ke dalam labu dan dikukus dengan api sederhana selama 45 minit atau isi labu menjadi empuk.
5. Boleh diletak dalam peti ais untuk disajikan sejuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




