am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang pekerja sebuah kedai nasi kandar warga tempatan ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kedah, di sini, malam tadi.
Mangsa, Mohd Asuad Abd Rasyid, 36, yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang melakukan selaman di dasar sungai berkenaan pada 12.30 tengah malam tadi.
Difahamkan, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu akibat diserang sawan.
Ketua Zon 1, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, bilik kawalan BBP Alor Setar menerima panggilan kecemasan pada 8.15 malam memaklumkan mangsa terjatuh ke dalam sungai itu.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengarahkan jentera dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra turut diaktifkan dan digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi SAR untuk mencari mangsa.
“Pencarian mangsa dilakukan di permukaan air sebelum PPDA tiba dan melakukan selaman di dasar sungai berkenaan bermula 10 malam.
“Mangsa ditemukan di dasar sungai berkenaan pada kedalaman empat meter dan dibawa naik ke tebing, ” katanya ketika ditemui di lokasi, tengah malam tadi.
Ahmad Aminuddin berkata, pasukan PPDA turut berdepan cabaran ketika melakukan selaman disebabkan terdapat batang dan tunggul kayu di dasar sungai, selain mata kail pemancing.
Beliau berkata, mangsa ditemukan kira-kira empat jam selepas dia dilaporkan terjatuh dari sungai ini.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi malam ini (malam tadi) disertai seramai 11 anggota dari BBP Alor Setar, lapan anggota PPDA dari BBP Jitra dan seorang dari BBP Sungai Petani, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



