Polis siasat serangan rasis terhadap bintang EPL

Polis siasat serangan rasis terhadap bintang EPL

London: Polis mengesahkan sedang menyiasat serangan rasis yang disifatkan sebagai ‘menjijikkan’ dan ditujukan kepada empat pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) di media sosial hujung minggu lalu.

Penyerang Wolverhampton Wanderers, Tolu Arokodare dan pemain tengah Sunderland, Romaine Mundle menjadi mangsa terbaharu.

Pertahanan Chelsea, Wesley Fofana dan pemain Burnley, Hannibal Mejbri turut menerima layanan sama pada Sabtu lalu selepas kedua-dua kelab seri 1-1.

Ketua Konstabel Mark Roberts yang mengetuai Unit Kepolisan Bola Sepak UK (UKFPU) berkata: “Tiada langsung tempat untuk penyalahgunaan berunsur perkauman, sama ada dalam talian atau bersemuka, dan sesiapa yang fikir mereka boleh bersembunyi di sebalik papan kekunci perlu berfikir semula.

“UKFPU mengecam tingkah laku menjijikkan ini dan kami akan memastikan melalui pasukan khas pegawai kami, segala usaha dilakukan untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta membawa mereka ke muka pengadilan.”

Arokodare terlepas sepakan penalti ketika tewas 0-1 kepada Crystal Palace kelmarin sebelum menerima mesej berunsur rasis daripada beberapa akaun media sosial.

Sunderland kemudian mendedahkan Mundle turut menjadi sasaran serangan sama selepas masuk sebagai pemain gantian dalam kekalahan 1-3 kepada Fulham.

Badan kebajikan berpangkalan di Britain, Kick It Out yang memerangi rasisme dalam bola sepak, mengecam apa yang disifatkan sebagai ‘hujung minggu memalukan’ dan menggesa tindakan lebih tegas diambil.

Pihak EPL pula memberi amaran akan mengenakan hukuman serius kepada mereka yang didapati bersalah, sambil menegaskan: “Bola sepak adalah untuk semua, tiada ruang untuk rasisme.”

Namun pertahanan Perancis, Fofana tidak meletakkan harapan tinggi terhadap tindakan tegas.

“Tahun 2026, perkara sama masih berlaku, tiada apa yang berubah. Mereka ini tidak pernah dihukum. Kempen besar menentang rasisme diwujudkan, tetapi tiada siapa benar-benar bertindak,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top