London: Lewis Hamilton mengeluarkan kenyataan penuh bersemangat menjelang musim baharu Formula Satu (F1) 2026, sambil menepis spekulasi bahawa dia mungkin bersara.
Tanda tanya menyelubungi masa depan Hamilton selepas juara dunia tujuh kali itu melalui musim pertama yang mengecewakan bersama Scuderia Ferrari susulan perpindahan sensasi dari Mercedes-AMG Petronas.
Hamilton mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur negatif dan penuh teka-teki mengenai prestasinya sepanjang kempen 2025 yang hambar, hingga mencetuskan persoalan sama ada dia bakal menamatkan kariernya.
Namun selepas aksi pramusim yang positif bersama Ferrari, Hamilton menegaskan dia ‘tidak akan ke mana-mana’ dan meminta penyokong terus setia ketika dia memulakan musim kedua bersama pasukan berwarna merah itu.
“Sangat terinspirasi melihat pasukan bertungkus-lumus membina jentera. Ia paling menarik minat saya. Semuanya dibina dari awal, direka dan direka semula berkali-kali. Hanya segelintir daripada kami yang berpeluang menguji jentera itu.
“Perasaan itu tidak pernah pudar. Terima kasih kepada semua atas kerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya benar-benar menghargainya,” tulisnya di Instagram.
Hamilton mengakui bahawa ‘untuk seketika, dia terlupa siapa dirinya’, namun menegaskan dia kini sudah ‘reset’ dan kembali bersemangat menjelang musim baharu yang bermula dengan Grand Prix (GP) Australia pada 8 Mac.
“Saya sangat cintakan pekerjaan ini dan saya suka bekerja dengan pasukan serta memandu untuk peminat.
“Saya amat bertuah dapat melakukan apa yang saya lakukan dan saya teruja menantikan musim baharu.
“Saya sudah reset dan segar semula. Saya tidak akan ke mana-mana, jadi teruslah bersama saya. Untuk seketika, saya terlupa siapa diri saya, tetapi dengan sokongan semua, anda tidak akan melihat mentaliti itu lagi. Saya tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




