Pergerakan tanah kecil dikesan di Singapura susulan gempa di Sabah

Pergerakan tanah kecil dikesan di Singapura susulan gempa di Sabah

Singapura: Pergerakan tanah kecil dikesan oleh stesen pemantauan di Singapura susulan gempa bumi yang melanda luar pantai Sabah pada semalam, dengan sebahagian penduduk melaporkan merasai gegaran.

Memetik The Straits Times, Perkhidmatan Meteorologi Singapura berkata, pergerakan tanah yang dikesan adalah setanding dengan ukuran yang direkodkan semasa gempa bumi serantau sebelum ini.

Agensi itu berkata, walaupun gempa bumi Sabah berkenaan kira-kira 1,500 kilometer (km) dari Singapura, ia jauh lebih dalam pada kedalaman 620 km.

Menurutnya, gempa bumi lebih dalam menghasilkan gelombang seismik yang boleh bergerak jarak jauh dengan lebih cekap dan kehilangan tenaga yang lebih sedikit.

Menurut media sama, gegaran itu dilaporkan oleh pengguna internet di lokasi seperti Toa Payoh, Balestier dan Punggol.

Pengguna media sosial turut melaporkan, merasakan hayunan dan gegaran ketika berada di rumah masing-masing.

Pakar dari Universiti Teknologi Nanyang, Prof Madya Tong Ping berkata, penduduk boleh merasakan hayunan akibat jumlah tenaga besar yang dilepaskan.

Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan, gempa Sabah itu pada magnitud 7.1, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meletakkannya pada magnitud 6.8.

Dalam pada itu, Tong Ping berkata, apabila gelombang permukaan sampai ke Singapura, pergerakan tanah adalah kecil tetapi cukup untuk menyebabkan penghuni di tingkat lebih tinggi merasakan hayunan lembut.

Sementara itu, pakar dari Earth Observatory of Singapore, Penolong Profesor Aron Meltzner berkata, gegaran di Singapura adalah konsisten dengan gempa bumi besar di Sabah.

Beliau berkata, gempa Sabah pada 23 Februari itu diklasifikasikan sebagai gempa fokus dalam yang boleh menghantar tenaga pada jarak jauh lebih panjang.

Bagaimanapun, Building and Construction Authority pula berkata, bangunan di Singapura direka untuk menahan daya sisi termasuk yang disebabkan oleh gegaran daripada gempa bumi jauh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top