OTTAWA: Kanada merancang untuk memberikan bantuan kepada Cuba ketika pulau itu bergelut dengan kekurangan bahan api selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat bekalan minyak ke negara tersebut.
Washington meningkatkan kempen tekanan terhadap kerajaan komunis Cuba dalam beberapa minggu kebelakangan itu, dengan menyekat semua minyak yang sampai ke Cuba, termasuk dari sekutu Venezuela.
Keadaan itu mendorong kenaikan harga makanan dan pengangkutan serta menyebabkan kekurangan bahan api dan gangguan elektrik.
“Kami sedang menyediakan pelan untuk membantu. Pada masa ini, kami belum bersedia untuk memberi maklumat lanjut mengenai pengumuman itu,” kata Menteri Luar Kanada, Anita Anand, tanpa menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran jika keperluan tenaga Cuba tidak dipenuhi, ia boleh menyebabkan krisis kemanusiaan.
Minggu lalu, Kanada berkata ia memantau situasi di Cuba dan bimbang mengenai risiko peningkatan krisis kemanusiaan di negara tersebut.
Presiden AS, Donald Trump berulang kali menyatakan hasratnya untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan Cuba, termasuk memberi tekanan kepada kepimpinannya, selepas serbuan di Caracas yang menggulingkan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro.
Washington dan Ottawa turut mengalami ketegangan di bawah pentadbiran Trump berhubung isu tarif perdagangan, retorik terhadap Greenland, usaha Kanada memperkukuh hubungan dengan Beijing dan kenyataan Perdana Menteri, Mark Carney berhubung ‘kuasa sederhana’ perlu bertindak bersama untuk mengelak daripada menjadi mangsa hagemoni AS.
Trump pernah mendakwa Cuba akan tumbang tidak lama lagi, sambil menegaskan Venezuela, yang pernah menjadi pembekal utama pulau itu, tidak lagi menghantar minyak atau wang ke pulau berkenaan.- AGENSI




