SHAH ALAM – Pengukuhan nilai ringgit dilihat memberi kelebihan kepada pelabur Malaysia yang berminat untuk memiliki hartanah di Australia meskipun negara itu melaksanakan larangan sementara pembelian rumah sedia ada oleh warga asing hingga tahun 2027.
Pengarah Bersekutu Australian Properties, Knight Frank Penang, Jenny Neoh Channing berkata, pergerakan nilai ringgit semasa memberi kelebihan kos kepada pembeli Malaysia yang merancang pelaburan hartanah di Australia.
“Setakat 24 Februari, ringgit didagangkan pada paras RM2.75 berbanding dolar Australia, meningkat daripada RM3.18 pada Julai 2024. Trend ini dilihat memberi kelebihan khususnya kepada pembeli yang menggunakan pembiayaan menggunakan ringgit.
“Mata wang tempatan ini juga dijangka terus mengukuh berbanding beberapa mata wang utama hingga hujung tahun dengan penganalisis seperti Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG) mengunjurkan paras RM3.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Malaysia disenaraikan sebagai sumber pelaburan asing kesembilan terbesar dalam sektor tanah kediaman di Australia dengan nilai pelaburan mencecah dolar Australia 111.6 juta (RM308.5 juta) bagi tempoh Julai 2023 hingga Jun 2024, menurut laporan Register of Foreign Ownership of Australian Assets oleh Australian Tax Office.
Permintaan dalam kalangan pelabur Malaysia turut didorong hubungan rapat antara kedua-dua negara selain faktor migrasi yang berterusan apabila data bancian Australian Bureau of Statistics merekodkan seramai 165,616 penduduk kelahiran Malaysia menetap di Australia setakat 2021.
Tambahnya, pembeli yang menggunakan ringgit ketika ini memerlukan modal yang lebih rendah untuk memperoleh aset sama berbanding lima tahun lalu.
“Situasi itu bukan sahaja membantu mengurangkan tahap pembiayaan malah berpotensi meningkatkan pulangan sewaan serta mengurangkan risiko turun naik mata wang bagi pembelian rumah baharu dan tanah kosong,” katanya.
Menurut beliau, data migrasi terkini menunjukkan peningkatan keyakinan yang ketara apabila Australia merekodkan 415,760 ketibaan bersih penduduk tetap dan jangka panjang antara Januari hingga September 2025.
“Ia angka tertinggi pernah dicatatkan bagi tempoh tersebut dan meningkat enam peratus berbanding rekod sebelumnya pada 2024. Australia juga kekal menjadi destinasi pilihan pelajar Malaysia dengan lebih 13,000 pelajar tempatan mengikuti pengajian di institusi pendidikan negara itu pada 2025.
“Kerajaan Australia turut menyasarkan peningkatan sembilan peratus kemasukan pelajar antarabangsa pada 2026, sejajar dengan penetapan Asia Tenggara sebagai wilayah keutamaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaburan asing bagi kediaman baharu dilaporkan tertumpu di Victoria, New South Wales dan Queensland yang menunjukkan pertumbuhan positif pasaran hartanah kediaman di bandar utama seperti Melbourne serta Sydney.
“Pembangunan build-to-rent (BTR) juga dilihat semakin matang sebagai kelas aset tersendiri. Model ini merujuk kepada pembangunan kediaman berskala besar yang diurus secara profesional dan dibina khusus untuk tujuan sewaan jangka panjang.
“Menurut Australia Horizon Report 2026, sebanyak 4,660 unit BTR siap dibina pada 2024, diikuti anggaran 6,000 unit pada 2025 dan 4,000 unit lagi dijangka siap pada 2026.
Minat berterusan daripada pemain global serta tempatan terhadap pembangunan BTR dijangka membantu mengatasi kekurangan bekalan rumah sewa di Australia,” katanya.
Tambah beliau, biarpun faktor mata wang dan keadaan makroekonomi mewujudkan peluang kemasukan menarik, pelabur asing perlu mengambil kira persekitaran cukai dan kawal selia yang semakin ketat bagi melindungi pulangan pelaburan.
“Antara langkah yang diperkenalkan termasuk larangan sementara pembelian rumah sedia ada oleh warga asing bermula 2025, pengawasan dan fi lebih ketat di bawah Foreign Investment Review Board, kenaikan kos duti setem, cukai pegangan 15 peratus untuk bukan pemastautin serta cukai tanah tahunan dan surcaj pemilik luar negara.
“Pematuhan yang teliti akan membolehkan pelabur Malaysia terus memanfaatkan Australia sebagai destinasi pelaburan yang stabil didorong kekuatan ekonomi dan politik, pertumbuhan populasi, kadar kekosongan rendah serta permintaan sewaan yang tinggi,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengukuhan nilai ringgit memberi kelebihan kepada pelabur Malaysia untuk memiliki hartanah di Australia
- Pergerakan nilai ringgit memberi kelebihan kos kepada pembeli Malaysia
- Malaysia disenaraikan sebagai sumber pelaburan asing kesembilan terbesar dalam sektor tanah kediaman di Australia
- Permintaan pelabur Malaysia didorong oleh hubungan rapat antara kedua-dua negara dan faktor migrasi yang berterusan
- Pelaburan asing bagi kediaman baharu di Australia tertumpu di Victoria, New South Wales dan Queensland


