Hanafiah tak wajib letak jawatan! Minta bertenang, jangan buat spekulasi – Ahmad Samsuri

Hanafiah tak wajib letak jawatan! Minta bertenang, jangan buat spekulasi – Ahmad Samsuri

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, tidak diwajibkan meletakkan jawatan meskipun kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata kedudukan Hanafiah sebagai Exco kerajaan negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan yang sedang berjalan. Menurut Ahmad Samsuri, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

Hanafiah tak wajib letak jawatan

“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar, yang baharu dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menegaskan bahawa kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses perundangan.

“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional,” tambah beliau.

Awal hari ini, Hanafiah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi kepentingan dua anak kandungnya. Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Artikel lain: Hanafiah bertugas seperti biasa atas arahan MB Terengganu

Pertuduhan pertama melibatkan Hanafiah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah.

Pertuduhan kedua pula melibatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah, pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sumber: FB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

Scroll to Top