Hamas akan diberi tempoh akhir untuk letak senjata – Israel

Hamas akan diberi tempoh akhir untuk  letak senjata – Israel

Baitulmaqdis: Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, pada 23 Februari berkata, kumpulan Islam Palestin, Hamas, mungkin akan diberikan tempoh akhir tidak lama lagi untuk meletakkan senjata mereka.

“Kami menganggarkan bahawa dalam beberapa hari akan datang, Hamas akan diberikan satu ultimatum untuk melucutkan senjata dan menyahketenteraan sepenuhnya Gaza,” katanya dalam wawancara dengan penyiar awam Kan.

Beliau berkata, jika Hamas tidak mematuhinya, pihaknya akan mempunyai legitimasi antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk melakukannya sendiri dan sudah bersiap sedia membuat perancangan.

Smotrich adalah anggota Kabinet keselamatan Israel yang dipertanggungjawabkan meluluskan operasi ketenteraan berskala besar.

Di bawah fasa pertama gencatan senjata di Gaza yang ditaja AS yang menghentikan dua tahun pertempuran antara Israel dan Hamas, tentera Israel berundur ke kedudukan di belakang garisan kuning tetapi masih menguasai lebih separuh wilayah itu.

Fasa kedua yang secara rasmi bermula pada Januari memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel, dan pelucutan senjata Hamas yang ditentang keras oleh kumpulan itu.

“Tentera Israel pasti akan masuk dan menduduki Gaza jika Hamas tidak dibubarkan,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana tentera akan melakukannya, beliau berkata, terdapat dua atau tiga alternatif ketika ini yang sedang diteliti.

Pelan damai yang dikemukakan Presiden AS, Donald Trump, turut menyeru penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) dengan seramai 20,000 anggota yang mana beberapa negara sudah komited menghantar tentera.

Ketika ditanya bagaimana tentera Israel akan beroperasi menentang Hamas apabila tentera asing ditempatkan di lapangan, beliau berkata, pihak berkenaan akan berundur dengan sangat cepat dan membenarkan tentera Israel masuk kerana ia diselaraskan dengan pihak AS.

“Lagipun, saya masih belum melihat mereka masuk dengan begitu cepat,” tambahnya merujuk kepada ISF.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top