am@hmetro.com.my
Seremban: Prosiding keputusan hukuman terhadap remaja bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya hingga menyebabkan tiga maut di Mahkamah Majistret, hari ini ditangguhkan ke 20 Mei depan.
Dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu, Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizudin Ahmad Zaini memberitahu mahkamah bahawa laporan akhlak masih belum dapat disiapkan.
Peguam Johan Radzi memaklumkan, Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menangguhkan keputusan pada tarikh berkenaan selepas menerima permintaan daripada Faizudin.
“Beliau (Faizudin) memberitahu mahkamah ada laporan awal yang belum siap kerana pihak JKM perlu buat rujukan silang dengan pihak hospital.
“Jadi mahkamah memutuskan 20 Mei depan untuk keputusan fakta kes dan penyediaan laporan akhlak,” katanya ditemui di luar kamar mahkamah di sini, hari ini.
Terdahulu, meskipun hampir setahun berlalu, remaja terbabit yang kini berusia 18 tahun dilihat masih hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan ditemani ibu bapa serta ahli keluarga.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin.
Pada 17 Disember lalu, remaja berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula ketika prosiding pengurusan kes sebelum mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk fakta kes dan penyediaan laporan akhlak.
Ketika didakwa di mahkamah pada 22 April lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan peguamnya, memberitahu akan mengemukakan permohonan representasi.
Bagaimanapun pada 19 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memaklumkan yang Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Sebelum ini media melaporkan, Honda Jazz dipandu remaja lelaki itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari disahkan maut di lokasi kejadian manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di sini pada 10 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd



