Syahir minta Tun Faisal ‘berpuasa’ dari keruhkan lagi isu dalaman PN -“Kita bincang molek”

Syahir minta Tun Faisal ‘berpuasa’ dari keruhkan lagi isu dalaman PN -“Kita bincang molek”

Pegawai kanan Presiden Abdul Hadi Awang, Syahir Sulaiman menasihatkan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz supaya menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan isu dalaman Perikatan Nasional (PN).

Minta Tun Faisal tak buat serangan terbuka

Menerusi kenyataan dibuat di Facebook, Syahir yang juga ahli parlimen Bachok, menegaskan bahawa perkara berkaitan kedudukan jawatan dan struktur organisasi dalam blok pembangkang sepatutnya diselesaikan melalui saluran dalaman, bukan media.

“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka,” kata setiausaha politik Hadi itu.

Tun Faisal sepatutnya tak keruhkan lagi keadaan dalaman PN

Terdahulu, Tun Faisal berkata anggota parlimen BERSATU yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok bebas Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Katanya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi parlimen.

tun faisal

Beliau merujuk kepada kedudukan anggota parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang masih menyandang jawatan ketua pembangkang walaupun dipecat daripada BERSATU.

Dalam pada itu, Syahir turut memaklumkan bahawa blok pembangkang sepatutnya memberi fokus kepada isu nasional yang mendesak, termasuk perjanjian tarif, laporan audit, belanjawan tambahan, dan pembaharuan undang-undang.

“Melihat kepada apa yang ada di atas meja, maka hal-hal yang melibatkan berebut jawatan dan kerusi, tidak menjadi keutamaan kami.
“Lebih baik Penerangan tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan ceplos), serang PH/Madani; bukan serang kawan sendiri,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, telah menghubungi Abdul Hadi melalui telefon semalam bagi membincangkan kedudukan ketua pembangkang.

“Ini teladan yang baik. Kita bincang elok-elok. Difahamkan TGHH (Abdul Hadi) jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat,” katanya.

Artikel lain: Mas Ermieyati letak jawatan BERSATU! Hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin

Syahir turut menekankan bahawa PAS tidak pernah mendesak pertukaran jawatan dan segala keputusan akan dibincangkan secara molek.

“Melainkan jika BERSATU inginkan jawatan ketua pembangkang atau ketua whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah.
“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka,” ujarnya.

Sidang Dewan Rakyat kini berbaki empat hari sahaja dan tumpuan mereka kekal kepada isu rakyat dan nasional.

Sumber: Facebook Syahir Sulaiman

Scroll to Top