am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyakit tuberculosis (tibi) pendam, iaitu jenis tibi yang tidak menunjukkan gejala awal menjadi antara cabaran utama kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penyakit tibi di negara ini.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Kawalan Tibi dan Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Shazelin Alipitchay berkata, berbeza dengan tibi aktif yang menunjukkan gejala dalam masa kira-kira dua minggu seperti batuk berterusan dan demam, tibi pendam hanya dapat dikesan dalam masa berbulan, malah ada yang mengambil masa sehingga bertahun.
Dr Shazelin berkata, mereka yang berisiko mendapat tibi jenis ini ialah pesakit diabetes, pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis, pesakit HIV, kanak-kanak dan warga emas.
“Apabila kuman tibi ini masuk ke dalam badan seseorang, akan ada satu tempoh fasa pendam (latent), yang mana bakteria itu akan mengeram (incubate) dalam badan dan merangsang imuniti, namun tidak bergejala dan menjangkiti orang lain.
“Sifat bakteria itu sendiri sukar dibunuh, jadi antibiotik biasa yang dimakan untuk sakit tekak itu tidak dapat membunuh bakteria secara terus, sebaliknya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk betul-betul sembuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh radio Nasional FM, dengan topik “Hentikan Tibi, Lindungi Komuniti”, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan, sebanyak 596 kes baharu tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi keenam tahun ini (ME6/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kepada 3,161 kes.
Sementara itu, Dr Shazelin memaklumkan, pesakit tibi boleh sembuh melalui antibiotik khusus, namun ia perlu diambil setiap hari selama enam bulan, dengan fasa intensif selama dua bulan.
“Ada kes tibi, yang mana pesakit selepas makan ubat selama sebulan, dia sudah rasa sihat dan batuk semakin berkurangan, jadi dia berhenti makan ubat.
“Ini bahaya. Pesakit sepatutnya perlu terus mengikut jadual makan ubat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




