Kuala Lumpur: Koperasi Siswazah Bangi Bhd (KSBB) memberi jaminan tiada sebarang kehilangan dana hasil kutipan yuran pelajar melibatkan kerjasama koperasi itu dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagaimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1/2026.
Pengurus KSBB Dr Muhammad Hafiz Md Saad berkata semua kutipan kerjasama yang bermula sejak tahun 2017 itu telah diuruskan dan diserahkan kepada UKM mengikut terma perjanjian, sekali gus menjana hasil sebanyak RM90.56 juta kepada pihak berkenaan.
Beliau berkata segala kutipan hasil bagi Program Sarjana Pendidikan dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) adalah selaras dengan perjanjian yang ditandatangani termasuk perjanjian bagi program DPLI yang mendapat kelulusan Mesyuarat Pengurusan Universiti, Senat, Jawatankuasa Tetap Kewangan (JKTK) serta Pejabat Penasihat Undang-Undang UKM.
“Mengenai isu kelulusan Menteri Kewangan, koperasi menegaskan bahawa prosedur tersebut adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pihak UKM selaku pemilik program dan penyedia dokumen perjanjian dan seharusnya dibetulkan pada Perjanjian Pertama pada tahun 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Hafiz turut menjelaskan agihan yuran kepada UKM dibuat selepas pelajar melunaskan bayaran penuh bagi setiap semester, manakala kaedah bayaran secara ansuran telah dipersetujui oleh pihak universiti sejak awal pelaksanaan bagi memudahkan pelajar dan berjalan lancar tanpa sebarang teguran sebelum ini.
Berhubung isu tunggakan, beliau berkata koperasi sentiasa proaktif menguruskan tuntutan sejak Oktober 2025, dengan UKM memaklumkan jumlah hutang telah berkurang kepada RM3.49 juta setakat 14 Januari 2026 daripada RM5.32 juta pada 31 Dis 2024.
Semakan dan perbincangan lanjut, katanya masih perlu dibuat bagi menyelaras data pelajar berikutan terdapat kes pelajar menarik diri, diberhentikan atau meninggal dunia dan koperasi berkenaan komited untuk memberikan kerjasama penuh bagi menjelaskan baki hutang sekiranya ada setelah semakan dan pengesahan bersama dilakukan secara adil serta telus.
Mengenai konflik kepentingan, Muhammad Hafiz berkata lima pegawai UKM yang terlibat dalam lembaga koperasi tidak mempunyai sebarang kuasa meluluskan atau membuat keputusan bagi urusan universiti dan jawatan mereka tidak melibatkan bidang kuasa pentadbiran atau kewangan berkaitan koperasi.
Beliau berkata kesemua individu berkenaan juga bersedia melepaskan jawatan sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.
KSBB juga akan terus memastikan operasi dijalankan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi menjaga kepentingan semua pihak, selain tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap penyebaran maklumat tidak benar atau fitnah, khususnya menerusi media sosial.
Semalam, UKM menyatakan akan mengambil tindakan disiplin dan undang-undang berdasarkan hasil siasatan penuh mengikut prinsip “due process” susulan LKAN 1/2026 selain melaksanakan proses semakan rapi demi melakukan pembaharuan dan memperkukuh sistem sedia ada.
Menurut LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, UKM dikesan berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




