25 Februari 2026 01:06pm
Masa membaca: 4 minit

Thorbjorn Jagland. Foto AFP
COPENHAGEN – Bekas Perdana Menteri Norway, Thorbjorn Jagland dimasukkan ke hospital akibat tekanan yang berpunca daripada skandal Epstein, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik agensi berita NTB serta peguamnya.
Jagland merupakan antara tokoh paling berprofil tinggi yang dikaitkan susulan pendedahan fail berkaitan pesalah seks yang disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein.
Pihak berkuasa Norway sedang menyiasat dakwaan rasuah yang serius.
Bekas ahli politik kanan itu dilaporkan pernah menginap di pangsapuri Epstein di Paris dan New York serta bercuti di kediaman milik lelaki berkenaan di Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat (AS) ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Majlis Eropah.
Epstein, seorang jutawan AS yang meninggal dunia dalam tahanan pada 2019, telah mengendalikan rangkaian penderaan selama bertahun-tahun dengan jumlah mangsa yang masih belum diketahui, sebahagiannya melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Peguam Jagland memaklumkan bahawa anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa namun percaya tiada asas untuk pendakwaan jenayah.
Pegawai daripada pihak berkuasa jenayah ekonomi Norway turut menggeledah kediaman Jagland.
Selepas berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 1996 hingga 1997, Jagland mengetuai Majlis Eropah dari 2009 hingga 2019 dan turut menjadi Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway selama bertahun-tahun.
Atas permintaan Norway, Majlis Eropah baru-baru ini menarik balik imuniti Jagland selama 10 tahun beliau menerajui organisasi itu. – Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Norway Thorbjorn Jagland dimasukkan ke hospital akibat tekanan dari skandal Epstein
- Jagland dikaitkan dengan pesalah seks Jeffrey Epstein dan sedang disiasat atas dakwaan rasuah yang serius di Norway
- Dilaporkan Jagland pernah menginap di beberapa kediaman Epstein dan bercuti di rumah Epstein di Palm Beach semasa menjadi Setiausaha Agung Majlis Eropah
- Epstein telah mengendalikan rangkaian penderaan selama bertahun-tahun, sebahagiannya melibatkan kanak-kanak bawah umur
- Pihak berkuasa jenayah ekonomi Norway menggeledah kediaman Jagland dan Majlis Eropah menarik balik imuniti Jagland selama 10 tahun beliau menerajui organisasi itu



