razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Kini, bunyi letupan bom menggantikan laungan azan dan bacaan al-Quran yang sebelum ini bergema ketika Ramadan,” kata Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Ayesh Alnajjar berkenaan cabaran yang sedang dihadapi rakyat Palestin.
Dia yang lebih dikenali sebagai Abu Ayesh berkata, Ramadan bagi masyarakat di Palestin dibayangi ketakutan dan ketidakpastian.
Katanya, cabaran terbesar rakyat sepanjang Ramadan adalah mendapatkan makanan untuk berbuka dan bersahur.
“Walaupun intensiti perang dilihat berkurangan, hampir 90 peratus Gaza musnah dengan ekonomi lumpuh sepenuhnya. Tiada pekerjaan, tiada pendapatan tetap dan kebanyakan keluarga terpaksa bergantung kepada bantuan.
“Ramai yang terpaksa tinggal di dalam khemah yang tidak mampu menahan bahang panas atau hujan musim sejuk. Puasa bukan lagi sekadar ibadah, tetapi terpaksa kerana kemiskinan dan kekurangan bekalan,” katanya.
Beliau berkata, bekalan makanan seperti tepung, beras dan air minuman masih ada di pasaran, namun majoriti rakyat tidak mampu membelinya.
“Mereka yang bekerja di bawah pihak berkuasa hanya menerima sekitar 30 peratus gaji setiap 45 hingga 50 hari, kira-kira AS$320. Harga barang pula meningkat dan trak bantuan yang masuk jauh berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, bagi meringankan beban yang dihadapi, pihaknya menyediakan kira-kira 1,000 juadah berbuka puasa panas setiap hari selain membekalkan air minuman bersih dan bantuan kecemasan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
“Sebenarnya lebih dua juta penduduk memerlukan bantuan, namun sumbangan yang ada hanya mampu menampung sebahagian kecil daripada keperluan sebenar.
“Jika dahulu 500 hingga 600 trak memasuki Gaza setiap hari, kini hanya sekitar 300 hingga 400. Sedangkan Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 trak sehari untuk memenuhi keperluan asas,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak antara paling terkesan apabila Ramadan yang dahulunya ceria kini bertukar menjadi episod ketakutan setiap kali malam menjelma.
“Mereka berhimpit dalam khemah tanpa elektrik. Bunyi dron dan tembakan mengisi langit. Malah dron kecil yang dianggap mainan di tempat lain membawa maut di sini,” katanya.
Abu Ayesh berkata, sebelum perang, Gaza mempunyai lebih 1,300 masjid, namun kebanyakannya kini musnah termasuk Masjid Al-Amin Muhammad Malaysian yang dibiayai rakyat Malaysia dan musnah pada 8 Oktober 2023.
“Dengan sokongan antarabangsa termasuk Malaysia dan United Kingdom,sebuah surau sementara dibina daripada kayu dan plastik bagi membolehkan solat Tarawih didirikan walaupun dalam serba kekurangan.
“Biarpun serba kekurangan solat Tarawih tetap didirikan di ruang terhad, berbumbungkan plastik rapuh, dikelilingi runtuhan,” katanya.
Sempena Ramadan ini, katanya, harapan rakyat Gaza cukup sederhana iaitu keamanan, keselamatan dan peluang untuk kembali beribadah tanpa rasa takut.
“Kami tidak minta kemewahan. Kami hanya mahu keselamatan, kehidupan dan peluang untuk membina semula maruah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




