Satu lagi himpunan bagi menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki meletak jawatan akan berlangsung di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada Jumaat ini.
Menurut laporan Malaysiakini, himpunan dijangka bermula pada jam 10 pagi dimana peserta digalakkan memakai pakaian hitam sebagai tanda solidariti dan bantahan.
Wakil Sekretariat Himpunan Tangkap Azam Baki, Lee Wai Hong berkata, tumpuan himpunan kali ini adalah dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg yang mendakwa SPRM bersekongkol dengan apa yang digelar “mafia korporat”.
Foto arkib: Bernama
Lee turut membangkitkan isu kewujudan ‘Seksyen D’ dalam suruhanjaya itu yang didakwa terlibat dalam gangguan, serbuan agresif, dan tangkapan terpilih.
“Daripada membanteras rasuah, agensi penguatkuasaan utama negara itu dituduh bertindak sebagai alat tekanan untuk mengugut pemilik perniagaan yang sah dan melaksanakan pengambilalihan korporat secara paksa.
“Mangsa mendakwa mereka ditekan dan ditakutkan sehingga terpaksa melepaskan pegangan saham syarikat pada harga diskaun kepada rangkaian mafia korporat tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Azam menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Malah pada 24 Februari lalu, SPRM mengeluarkan penafian tegas kedua yang antara lain menegaskan bahawa dakwaan mengenai “mafia korporat” adalah tidak berasas.
Sementara itu, Lee mendakwa, kredibiliti Azam kini sukar dipulihkan dan jika rakyat hanya berdiam diri ketika institusi kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan politik, tanggungjawab menjaga masa depan negara akan terabai.
“Kredibiliti Azam Baki sudah tidak dapat dipulihkan lagi.
“Jika kita memilih untuk berdiam diri sementara institusi kerajaan disalahgunakan untuk pemerasan dan kelangsungan politik, itu bermakna kita mengabaikan tanggungjawab kita untuk menjaga masa depan negara,” dakwanya.
Foto arkib: Utusan
Terdahulu, satu himpunan dikenali Himpunan #TangkapAzamBaki berlangsung di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu dengan ratusan individu berhimpun secara aman.
Sumber: Malaysiakini




