Dewan Rakyat luluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026

Dewan Rakyat luluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026, satu langkah strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, pindaan itu bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi manifestasi semangat federalisme yang menekankan keseimbangan kuasa serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

RUU pindaan tersebut membolehkan penyerahan kuasa perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menghormati hak autonomi kedua-dua wilayah tersebut.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan peralihan bidang kuasa ini tidak menjejaskan penguatkuasaan kelestarian alam sekitar di seluruh negara,” katanya ketika sesi penggulungan.

Arthur berkata, bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan pada 11 Mac depan, di Dewan Negara.

“Setelah RUU ini mendapat perkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong, NRES akan terus mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak bagi menetapkan tarikh pewartaan serta tempoh peralihan yang dipersetujui.
“Ia selaras dengan perintah penggantungan kuat kuasa Akta 127 tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, langkah itu juga bertujuan mengelakkan sebarang kekosongan undang-undang atau pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, selain mengekalkan tadbir urus dan pematuhan undang-undang yang berkesan.

“Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan proses peralihan kuasa dilaksanakan secara teratur dan lancar tanpa menjejaskan aspek penguatkuasaan, tadbir urus, serta pematuhan undang-undang.
“Selain itu, ia bertujuan mengelakkan sebarang kekosongan undang-undang ( legal vacuum ) atau pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” tambah Arthur lagi.

Scroll to Top