'Misi rentas kaum dalam pencarian harta karun'

'Misi rentas kaum dalam pencarian harta karun'

nurul_husna@hmetro.com.my

PENDEKATAN lebih santai dalam membangkitkan kerukunan dan perpaduan rakyat diketengahkan Yayasan Salam bersama Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP), baru-baru ini.

Kolaborasi itu dilakukan menerusi acara ‘Salam Unity Explorace 2026′ dan Forum Kesejahteraan Mental & Kecerdasan Budaya yang menarik kira-kira 400 pengunjung untuk hadir di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP), Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Menurut Pemegang Amanah merangkap Pengerusi Yayasan Salam Datuk Yong Soo Heong, Salam Unity Explorace 2026 dilihat sebagai kaedah menarik generasi muda mengenali sejarah warisan menerusi konsep pencarian harta karun.

Menariknya, peserta perlu menjalin kerjasama berkumpulan merentas kaum dan latar belakang untuk menjayakan misi itu.

“Program ini bukan sekadar mempromosikan MTARP kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, malah memperkenalkan institusi penting negara yang berkait rapat dengan tokoh Bapa Kemerdekaan dan Bapa Perpaduan. Memorial ini dibuka kepada orang awam sejak 1994.

“Bukan hanya dapat mengisi hujung minggu dengan aktiviti berfaedah, mereka juga dapat melihat perspektif berbeza apabila sesi forum yang berlangsung menampilkan pakar berpengalaman dalam kecerdasan dan empati budaya.

“Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Datuk Dr Andrew Mohanraj dan Dr Jamel Kaur Singh, pakar strategi hubungan antara etnik dan penulis yang berpangkalan di Melbourne, Australia tampil sebagai panel.

“Meskipun ini inisiatif pertama Yayasan Salam bagi 2026 dan bersempena ulang tahun kelahiran ke-123 Tunku Abdul Rahman Al Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia dan Bapa Kemerdekaan yang disanjungi, kami merancang skala lebih besar dengan lebih ramai rakan strategik menyertai kami,” katanya.

Tempat pertama acara itu dimenangi oleh pasukan disertai oleh Kuan Mei Koon dan Sivaraman Sabapathy.

Kata Sivaraman, dia tidak menyangka pasukan yang terbentuk secara ‘bidan terjun’ itu berjaya mengatasi 14 pasukan lain.

“Saya pada mulanya hadir untuk memeriahkan acara dan kemudian diminta oleh penganjur untuk sertai peserta solo, Kuan Mei Koon.

“Tidak sangka kerjasama kami antara pasukan ‘otai’ (orang lama) boleh memberi saingan kepada pasukan lain yang jauh lebih muda dan cergas.

“Tetapi mungkin kerana pengalaman dan pengetahuan kami yang mendalam mengenai Tunku Abdul Rahman, ia memberi kelebihan kepada kami untuk menjawab dengan betul semua teka teki.

“Sebenarnya, acara ini wajar disertai golongan muda kerana jurang usia mereka untuk mengenali Tunku Abdul Rahman mungkin jauh berbanding generasi saya yang begitu dekat dengan sejarah Tunku,” katanya.

Menurutnya, dia menyahut cabaran menyertai acara berkenaan bagi mengasah pengetahuan dan ingatan berbanding mengejar ganjaran kemenangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor berkata, penganjuran acara sebegini dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai bapa kemerdekaan itu.

Beliau berkata, generasi muda yang mengenali sejarah membina kesedaran terhadap kepentingan nilai keamanan, muhibah dan keharmonian dalam negara.

Turut hadir Penerima Anugerah Kepimpinan Ikon Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan & Pengembangan Ahmad Sukri Abdul Kadir dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Zamri Saiman.

Kira-kira 40 ahli pengakap pelbagai unit terbabit dalam acara perasmian termasuk melafaz Rukun Negara dan ikrar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top