Kuala Lumpur : Drama digital Suara Sunyi di Subuh yang mengangkat kisah diinspirasikan daripada liku awal perjalanan seni penyanyi terkenal, Black Hanifah mula menjadi perhatian ramai.
Sejak ditayangkan sepanjang bulan Ramadan bermula 19 Februari lalu, drama terbitan Mantayay Sdn Bhd ini berjaya memberi impak dan mencetus inspirasi pada penonton.
Menariknya dalam drama terbabit watak Black bukan sekadar rider penghantar makanan biasa tapi pada masa sama menyimpan impian besar bergelar ‘superstar’.
Kisah ini diinspirasikan daripada kehidupan penyanyi terkenal Black Hanifah sendiri yang memulakan karier dari bawah sebelum dikenali ramai.
Tambahan pula, drama ini turut menggunakan lagu Hadirmu Ramadhan nyanyian Black Hanifah sebagai salah satu runut bunyi utama sekali gus menjadikan penceritaan watak Black terasa lebih hidup, dekat dan realistik.
Disamping gabungan elemen muzik dan emosi, watak itu menjadi simbol bahawa cita-cita tinggi tidak pernah terhad oleh latar kerja atau status sosial.
Selain itu, drama ini turut mengetengahkan watak Sharil, seorang pengurus pejabat yang nekad meninggalkan pekerjaan tetap demi membuka bengkel motosikal sendiri, keputusan yang dianggap ‘gila’ oleh sesetengah pihak.
Sharil kemudian menghadapi detik getir apabila bengkel hampir gulung tikar, namun semangat dan sokongan saudara komuniti ‘rider’ membentuk satu hubungan unik ketika detik sukar itu.
Dalam satu adegan penting, Sharil menggunakan rangkaian ‘rider’ untuk mendapatkan alat ganti penting dan sebagai balasan Sharil membantu membuka peluang pertama Black untuk menghantar demo ke studio rakaman profesional yang mungkin mengubah kehidupan Black selamanya.
Pelakon popular tanah air yang terbabit dalam drama ini antaranya Fahrin Ahmad, Imran Aqil, Danish Iskandar dan Hanna Halim.
Suara Sunyi di Subuh disiarkan di TikTok dan Instagram @terpalingcerita, dengan dua episod baharu tayangannya setiap hari sepanjang Ramadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




