am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) bagi meneliti langkah penyelesaian terhadap kekangan undang-undang sivil dalam menangani jenayah moral termasuk kesalahan dikategorikan sebagai ‘tanpa mangsa’ (victimless crime).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa itu berperanan menilai serta mencadangkan pembaharuan menyeluruh terhadap kerangka undang-undang jenayah negara.
“CLRC ditubuhkan sebagai satu platform khusus bagi menilai dan mencadangkan pembaharuan terhadap kerangka undang-undang jenayah negara secara menyeluruh.
“Pada masa ini, CLRC sedang menjalankan penelitian yang terperinci terhadap langkah-langkah pembaharuan jangka pendek (quick wins) antara lain seperti pindaan terhadap peruntukan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan Akta Keterangan 1950 [Akta
“Langkah itu supaya ia boleh dilaksanakan segera bagi menangani isu-isu mendesak dalam sistem keadilan jenayah, di samping merangka cadangan pembaharuan jangka panjang yang bersifat struktural dan mampan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah penyelesaian terhadap keterbatasan undang-undang sivil dalam menangani jenayah moral ‘tanpa mangsa’ yang semakin ketara susulan pelepasan reman 171 individu warganegara Malaysia yang ditahan dalam serbuan sauna gay pada November lalu.
Dalam melaksanakan fungsi, Azalina berkata, kerajaan melalui CLRC mengamalkan pendekatan yang inklusif dan berasaskan libat urus strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Sehubungan itu, kerajaan terbuka untuk menerima sebarang pandangan, syor dan cadangan yang konstruktif daripada agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain untuk dipertimbangkan secara teliti.
“Pandangan dan cadangan itu akan dinilai dari sudut kesesuaian perundangan, implikasi dasar, kebolehlaksanaan pelaksanaan serta keselarasan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hak asasi manusia sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan dan keputusan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berpandangan rangka kerja undang-undang jenayah sedia ada telah menyediakan asas perlindungan yang menyeluruh terhadap keselamatan rakyat.
“Bagaimanapun, usaha penambahbaikan dan penelitian berterusan sedang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian berkaitan bagi memastikan undang-undang perkembangan semasa. sentiasa relevan,” katanya.
Katanya, kerajaan secara berterusan akan memperkasa keupayaan dan kesiapsiagaan agensi-agensi penguatkuasaan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara berkesan, menyeluruh dan selaras dengan prinsip keadilan serta tadbir urus yang baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




