nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu : Kerajaan Kelantan bakal mengkaji semua operasi pasar raya pada Aidilfitri pertama susulan terdapat rungutan di kalangan pekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sudah mengarahkan bahagian kerja tempatan untuk membuat kajian semula berkenaan.
Katanya, memang menjadi amalan di Kelantan sebelum ini semua premis pasar raya ditutup pada hari raya pertama namun bermula Aidiladha lalu, sebahagian besar pasar raya dibenarkan beroperasi.
“Di pihak pasar raya mereka mempunyai perjanjian dengan vendor di mana hari tertentu perlu dibuka di seluruh pasar raya terutama membabitkan pasar raya besar.
“Namun disebabkan ada rungutan terutama daripada pihak pekerja pasar raya selepas Aidiladha tahun lalu kita membenarkan pasar raya dibuka pada hari raya pertama menyebabkan mereka terpaksa bekerja, maka kita akan membuat kajian semula.
“Kita akan membentangkan hasil kajian semula dan pengesyoran berkenaan pada mesyuarat EXCO akan datang sebelum membuat keputusan sama ada dibuka atau sebaliknya diumumkan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu ketika mengulas bazar Ramadan di Kelantan Hilmi berkata, setakat ini pematuhan peniaga adalah positif.
Malah katanya, tiada juga aduan berkaitan ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan.
“Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri sering membuat pemantauan berkaitan kesalahan membabitkan Akta Pemakanan termasuk pemakaian apron secara berkala di tapak bazar Ramadan.
“Terdapat 3,000 petak bazar Ramadan di seluruh Kelantan dengan semua PBT menetapkan kadar berbeza serendah RM60 hingga RM550 dan tiga lokasi dikelola oleh pihak swasta dengan kadar sewa RM1,300,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




