Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Alha Alfa telah menyampaikan amanah sebanyak RM20,000 bagi membantu kos rawatan anak kedua pelakon Amyza Aznan iaitu Adrian Adam yang sedang berjuang melawan kanser tulang.
Bantu anak kedua Amyza Aznan
Dalam satu hantaran di laman Instagram, Alha atau nama sebenar Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil menyatakan bahawa beliau telah menyampaikan amanah daripada hasil jualan set produk khas yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau turut mendoakan agar urusan keluarga aktres tersebut dipermudahkan, anak-anak sentiasa dalam keadaan sihat, dan kesembuhan Adrian dipermudahkan.
“Salam semua pengguna yang sokong pembelian set untuk kita bantu kos rawatan anak kedua Kak Amyza Aznan iaitu Adrian Adam. Saya telah pun sampaikan amanah ini.
“Semoga dipermudahkan urusan Kak Amyza dan anak-anak, kami sentiasa doakan. Semoga Ian sihat sediakala, mari kita doakan kesembuhan Syifa untuk Ian, amin amin amin.” tulisnya hari ini.
Beberapa hari sebelum itu, Alha mengumumkan pelancaran set produk khas bertujuan mengumpul dana untuk dua anak lelaki Amyza, Andre Mikhail, 20, dan Adrian Adam, 18, yang masing-masing disahkan menghidap kanser.

Dalam hantaran sebelum pelancaran, beliau menekankan niatnya untuk membantu melalui penjualan produk di mana hasil kutipan akan diserahkan sepenuhnya kepada keluarga.
Artikel lain: Alha Alfa ajak pembeli bersedekah, sumbang hasil jualan produk buat anak Amyza Aznan
Tragedi dilalui keluarga itu apabila Andre Mikhail yang menderita kanser paru-paru tahap tiga disahkan meninggal dunia sehari selepas pelancaran produk berkenaan.

Kini, tumpuan keluarga dan orang ramai adalah kepada Adrian Adam yang masih berjuang melawan kanser tulang.
Sumber: Instagram Alha Alfa




