Menyajikan kelainan konsep dan kepelbagaian hidangan menjadi tarikan utama bufet Ramadan bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua yang dianjurkan oleh RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS), dengan kerjasama strategik Rumah Makan Patin Pasu.
Bufet ini menampilkan lebih 80 jenis sajian, merangkumi masakan tradisional Melayu dan hidangan Barat, disusun rapi bagi memenuhi citarasa pelbagai lapisan masyarakat yang berlangsung di Dewan Menara Kumpulan RISDA, dari 23 Februari hingga 18 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek berkata, penganjuran bufet ini menandakan langkah pertama syarikat meneroka segmen bufet Ramadan secara lebih serius, selepas lebih sedekad pengalaman dalam pengurusan acara.
Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja meluaskan portfolio perniagaan dalam bidang katering dan hospitaliti, tetapi turut membuka peluang kolaborasi strategik yang memberi nilai tambah kepada pelanggan.
“Kami melihat Ramadan sebagai peluang untuk menawarkan pengalaman berbuka puasa yang bukan sekadar menitikberatkan kualiti makanan, tetapi juga suasana dan keselesaan,” katanya.

Kerjasama bersama Rumah Makan Patin Pasu pula dianggap gabungan ideal, memandangkan restoran itu terkenal dengan kepakaran menyediakan masakan Melayu asli yang mengekalkan resipi tradisional dan rasa autentik.


Pengasas bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar pula berkata, sebanyak 80 jenis lauk-pauk akan dihidangkan setiap hari melalui tiga set menu berbeza iaitu Set A, Set B, dan Set C yang disusun secara bergilir.
“Pendekatan ini memastikan pelanggan dapat menikmati variasi menu yang berbeza sepanjang Ramadan. Setiap set mempunyai identiti tersendiri, tetapi masih mengekalkan tema utama dua benua,” ujarnya.

Antara hidangan tradisional yang menjadi tarikan termasuk daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi warisan Melayu.
Bagi pencinta sajian Barat pula, menu seperti kambing bakar, lamb stew, lasagna, pelbagai jenis pasta dan hidangan Itali turut disediakan oleh cef berpengalaman bagi mengekalkan kualiti dan rasa autentik.

Selain kepelbagaian menu, keselesaan pengunjung turut diberi keutamaan.
Dewan yang terletak di tengah ibu kota ini mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu masa, lengkap dengan surau dan parkir percuma.
Malah, pengunjung juga boleh menikmati persembahan live band bagi menambah kemeriahan suasana berbuka.

Harga yang ditawarkan ialah RM139 untuk dewasa, RM110 bagi staf dan pesara RISDA, serta RM88 untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas.
Tempahan secara beramai-ramai turut mendapat diskaun iaitu 10 peratus untuk 30 hingga 40 orang dan 15 peratus bagi tempahan melebihi 41 orang.
Orang ramai boleh membuat tempahan dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau menghubungi 011-17692601, 013-2469229, atau 019-3517116.
Dengan gabungan citarasa Timur dan Barat serta lokasi yang strategik di Kuala Lumpur, bufet Warisan Citarasa Asli 2 Benua dijangka menjadi pilihan utama warga kota yang ingin menikmati pengalaman berbuka puasa lengkap dari segi rasa, suasana dan layanan.




