
Dr Mohammed Taufiq (enam dari kiri) merasmikan My Athlete Center dan Majlis Menandatangani MoU bersama rakan strategik Karier dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yakin kombinasi pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memperkukuh cabaran negara pada kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, hujung April ini.
Beliau berkata, kesediaan perseorangan utama negara Lee Zii Jia ke dalam skuad negara mampu menjadi tonik tambahan dalam usaha memburu kejuaraan yang kali terakhir diraih Malaysia pada 1992.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Zii Jia dan pasukan kerana bersetuju untuk bersama-sama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.
“Terima kasih dan penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cinta akan negara, atas dasar semangat untuk memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center di Pavilion Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.
Zii Jia baru-baru ini mengesahkan kesediaannya membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026 tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM.
Terdahulu, Mohammed Taufiq merasmikan My Athlete Centre yang berfungsi sebagai hab kesejahteraan dan kebajikan atlet yang mampu memperkaya pengalaman melalui sokongan kesihatan mental dan pengurusan kebajikan.
“My Athlete Center adalah satu hab untuk atlet kita bersantai, berkumpul dan juga merehatkan diri mereka setelah seharian menjalani latihan dan sebagainya.
“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 dan dalam sini kita lihat reka bentuknya sangat moden dan begitu santai sekali. Kita juga nak memastikan bahawa atlet-atlet kita dapat mengawal tekanan mereka setelah latihan yang sangat panjang,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yakin pemain profesional dan atlet BAM memperkukuh cabaran Malaysia di Piala Thomas 2026
- Lee Zii Jia bergabung dengan skuad negara sebagai tonik tambahan
- Zii Jia membantu Malaysia tanpa tuntutan kepada BAM
- Mohammed Taufiq merasmikan My Athlete Centre sebagai hab kesejahteraan atlet
- My Athlete Centre melibatkan peruntukan RM500,000 untuk sokongan kesihatan mental dan pengurusan kebajikan atlet



