Kuala Lumpur: Kemajuan pelaburan Google bernilai AS$2 bilion di Malaysia sedang berkembang pesat dan melangkaui ramalan awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkongsi perkara ini menerusi hantaran di Facebook usai sidang video pagi tadi bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat serta pasukannya.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan kekal konsisten bagi memudahkan serta menyokong pelaburan yang diumumkan oleh syarikat teknologi multinasional itu,” katanya.
Beliau menambah, perbincangan menjurus kepada perkembangan pelaburan AS$2 bilion Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.
Anwar berkata, pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital Malaysia selain selaras dengan aspirasi meletakkan negara sebagai hab serantau aliran data selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).
“Pelaburan ini merangkumi pembangunan serta operasi pusat data pertama Google dan infrastruktur perkhidmatan awan di Malaysia.
“Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka membawa impak ekonomi sebanyak AS$3.2 bilion dan menyediakan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” katanya.
Pada 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia, merangkumi pembinaan pusat data sulung dan wilayah Google Cloud bagi memenuhi permintaan perkhidmatan awan yang kian meningkat di peringkat tempatan dan global, selain program literasi AI untuk pelajar serta pendidik di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




