Faiz jawab isu harga donat RM10 di bazar Ramadan

Faiz jawab isu harga donat RM10 di bazar Ramadan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Langkawi: “Terkejut juga bila ada yang persoalkan tapi saya tak salahkan netizen kerana pilihan membeli di tangan mereka.

“Nak beli, beli… tapi jangan sampai menghina fizikal kerana apa saya jual itu makanan yang jadi sumber rezeki buat kakitangan saya,”.

Itu kata pempengaruh dan usahawan, Muhamad Faiz Basirun, 24, atau mesra disapa Faiz ketika diminta mengulas isu harga donat keju karamel jualannya yang dipersoalkan warganet hingga mendapat kecaman ramai.

Ia kerana Faiz menjualnya dengan harga RM10 bagi sebiji donat yang dianggap keterlaluan dan tidak munasabah untuk makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Bercerita lanjut, Muhamad Faiz berkata, dia tidak merancang menjual donat itu namun kerana sebelum ini hanya berniaga minuman.

“Tapi pada saat akhir, saya dapat tapak niaga dan disebabkan tak ada idea nak jual menu apa, saya ambil keputusan jual donat itu selain minuman.

“Kebetulan, ada seorang kakitangan saya pernah menjualnya cuma dia tak dapat teruskan kerana ada masalah kewangan.

“Jadi, saya ambil alih kerana nak bagi peluang kerja kepada kakitangan juga. Ikutkan, saya sudah jual sejak dua minggu sebelum Ramadan dan baru dua hari di bazar Ramadan dan ada saja yang membeli sampai empat ke lima biji,” katanya kepada Harian Metro.

Lantaran sambutan baik, Faiz teruskan menjual dan tidak sangka harga akan menjadi pertikaian selepas berkongsi video di media sosial.

Bagaimanapun, Faiz mengakui tidak mampu memuaskan hati semua pihak kerana sedar isu mengenai harga jualan bukan saja berlaku terhadapnya tetapi turut dialami kebanyakan peniaga lain.

“Ada yang kata saya jual mahal sebab nak bayar kereta dan buat rawatan laser muka selain rasa terkenal dengan tunggang nama pempengaruh sampai ingat semua orang akan beli.

“Hakikatnya, harga ditetapkan itu harga lama dan sudah mengambil kira kos dan sebagainya tapi kalau cerita satu persatu, belum tentu orang boleh faham terutama yang tak berniaga.

“Jika tak suka, saya faham cuma lebih baik maklumkan terus kepada peniaga dengan cara betul, bukan tularkan sampai ajak orang lain menghina,” katanya.

Selepas apa yang berlaku, Faiz berkata, dia kemungkinan akan sedekahkan saja donat berkenaan kepada orang di bazar Ramadan nanti.

“Saya tengah fikirkan kerana niat berniaga donat itu sebenarnya bukan fikir untung sangat kerana sudah perniagaan lain iaitu minuman.

“Tapi lebih kepada nak tambah menu di bazar dan cari rezeki lebih untuk bantu kakitangan kerana tak lama lagi nak sambut hari raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top