Beijing: Bertuahnya kakitangan sebuah syarikat di China kerana mendapat majikan pemurah kerana mengagihkan 180 juta yuan (kira-kira RM102 juta) sebagai bonus akhir tahun hasil keuntungan tahun lalu yang mencecah 270 juta yuan (kira-kira RM153 juta).
Kisah itu tular di media sosial hingga mengundang rasa cemburu dalam kalangan netizen.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pada 13 Februari, Henan Kuangshan Crane Co Ltd menganjurkam majlis makan malam gala syarikat tahunannya, di mana lebih daripada 60 juta yuan (kira-kira RM34 juta) dalam bentuk bonus tunai diagihkan di acara itu.
Sempena majlis itu, 800 meja makan disediakan untuk memuatkan kira-kira 7,000 individu.
Kakitangan dipanggil naik ke atas pentas untuk menerima ganjaran, dan menariknya mereka membawa pulang wang di atas meja panjang yang dapat dikira dalam tempoh masa ditetapkan.
Berdasarkan video tular, kakitangan terbabit dilihat mengira wang tunai yang bertaburan di meja panjang dengan segelintirnya tidak dapat mengautnya.
Terdahulu, majikan berkenaan, dikenali Cui Peijun yang memanggil bahagian kewangan naik di atas pentas.
Lantaran kerap memberi ganjaran wang tunai dan faedah kepada kakitangan, netizen menggelarkan Cui sebagai majikan paling pemurah.
“Bukan saya suka memberi wang namun golongan muda dibebani dengan pinjaman kereta dan hutang rumah jadi kita cuba beri apa yang memberi kelegaan kepada mereka,” katanya.
Cui memegang kira-kira 98.88 peratus saham syarikat itu. Pada 2024, syarikatnya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 260 juta yuan (kira-kira RM147 juta) yang mana 170 juta yuan (kira-kira RM96 juta) diagihkan kepada kakitangan.
Pada Mac tahun lalu iaitu sempena Hari Wanita Antarabangsa, syarikat itu mengagihkan hampir 1.6 juta yuan (kira-kira RM904,000) sebagai bonus kepada 2,000 kakitangan wanita.
Hampir 70 peratus daripada keuntungan tahun lalu yang berjumlah 270 juta yuan (kira-kira RM153 juta) dikongsikan dengan 7,000 kakitangan.
Menurut rekod, syarikat itu ditubuhkan pada September 2002 sebagai pengilang, pembekal perkhidmatan kren dan produk pengendalian bahan, dengan operasi perniagaan merangkumi lebih daripada 130 negara di seluruh dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




