Untung bersih DRB-Hicom RM398 juta pada suku keempat 2025

Untung bersih DRB-Hicom RM398 juta pada suku keempat 2025

PETALING JAYA: DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencatatkan keuntungan bersih RM398 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM22.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.

DRB-Hicom berkata, kumpulan itu turut kembali mencatat keuntungan pada suku keempat dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM373.33 juta berbanding kerugian pra-cukai RM35.17 juta pada suku yang sama pada 2024.

“Pemulihan itu disokong oleh peningkatan prestasi operasi merentasi kumpulan, di samping pengiktirafan ‘negative goodwill’.

“Bagi hasil pula, kumpulan mencatatkan sebanyak RM4.57 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 15.2 peratus atau RM600 juta berbanding RM3.97 bilion pada suku yang sama pada 2024.

“Hasil suku tahunan yang lebih tinggi ini didorong oleh sumbangan yang bertambah baik merentasi segmen perniagaan kumpulan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, DRB-Hicom merekodkan untung bersih RM337.36 juta berbanding -RM46.62 juta pada tempoh sama tahun sebelum.

“Hasil kumpulan meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM17.31 bilion, berbanding RM16.19 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, disokong oleh prestasi yang bertambah baik merentasi semua segmen perniagaan.

“Sementara itu, PBT kumpulan pula adalah sebanyak RM653.88 juta bagi tempoh itu, meningkat daripada RM247.39 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

“Peningkatan itu merangkumi pengiktirafan nilai muhibah negatif atau negative goodwill berjumlah RM334.42 juta, hasil daripada pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd.).

“Ini juga di samping sumbangan yang lebih kukuh daripada proton serta segmen Perbankan dan Hartanah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025 dengan momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.

“Walau bagaimanapun, persekitaran global kekal tidak menentu berikutan potensi peningkatan tarif, ketegangan geopolitik yang berterusan, serta peningkatan volatiliti pasaran kewangan.

“Selepas mencapai rekod baharu jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 820,752 unit pada 2025, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan TIV akan menyusut kepada 790,000 unit pada 2026.

“Unjuran ini mencerminkan proses normalisasi selepas dua tahun berturut-turut mencatat rekod melebihi 800,000 unit.

“Pencapaian tetinggi pada 2025 ini didorong oleh pemenuhan tunggakan tempahan, promosi agresif di penghujung tahun serta pendaftaran kenderaan elektrik (EV) yang diawalkan sebelum tamatnya insentif EV bagi unit import sepenuhnya (CBU) pada 31 Disember 2025,” jelasnya. –UTUSAN

Scroll to Top