am@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya sempat berjumpa dengan ayah, ibu dan tiga beradik di bazar Ramadan petang semalam, ketika itu tiada apa-apa perubahan (pada mereka),” kata Ahmad Balia Murqam, 15.
Ahmad Balia, anak ketiga yang juga anak lelaki tunggal kepada lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini, awal pagi ini.
Pelajar Tingkatan Tiga itu berkata, dia sempat bertemu ahli keluarganya itu selepas dibawa keluar guru ke bazar berkenaan.
“Saya hanya mengambil air kerana ayah berniaga kuih dan air di bazar. Ketika itu mereka tidak berkata apa-apa dan tiada sebarang perubahan.
“Saya hanya mengetahui kejadian yang berlaku apabila bapa saudara datang ke sekolah pada jam 5 pagi tadi,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong yang menghuni asrama sekolah itu.
Ahmad Balia dan kakak sulung, Ruby Adalia Balqis, 19, terselamat kerana masing-masing berada di asrama sekolah dan kolej.
Terdahulu, lima sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat.
Lima sekeluarga berkenaan ialah suami isteri dikenali sebagai Mohd Alawi Mohammad, 56 dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9, dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira 3.45 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




