Kuala Lumpur: Jenama fesyen Muslimah tempatan, Minaz mengambil langkah luar jangka apabila tidak mengeluarkan koleksi pakaian raya tahun ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada penghasilan tudung dan Abaya premium menerusi koleksi terbaharu dikenali sebagai Setulus Raya.
Pendekatan berbeza itu diambil selepas lebih 15 tahun jenama berkenaan aktif dalam pasaran fesyen Aidilfitri tempatan yang sebelum ini sinonim dengan koleksi pakaian raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abd Hamid, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk mengangkat jenama Minaz sebagai pengeluar Abaya premium tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Minaz mahu muncul sebagai antara jenama Abaya berkualiti tinggi dari Malaysia yang boleh berdiri sebaris dengan jenama terkenal dari Timur Tengah khususnya Dubai.
“Kami mahu Malaysia juga mempunyai satu jenama Abaya yang berkualiti tinggi setanding jenama dari Dubai,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran koleksi berkenaan baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, keputusan untuk tidak menawarkan pakaian raya pada tahun ini bukan bermaksud Minaz mengundur diri daripada pasaran, sebaliknya memberi ruang kepada syarikat memperkemaskan strategi produk.
Katanya, langkah itu juga diambil bagi membolehkan Minaz menilai perubahan trend fesyen semasa yang semakin mencabar dengan kehadiran produk luar negara yang dijual pada harga lebih rendah.
“Kita rasa kita tidak akan berehat lama. Buat masa ini kita tarik ‘handbrake’ untuk melihat perubahan trend fesyen semasa terutama dengan lambakan produk luar yang diciplak dan dijual pada harga terlalu murah tanpa identiti,” katanya.
Menurut Hafiza, koleksi Setulus Raya dihasilkan bagi memenuhi kecenderungan pelanggan yang kini lebih memilih rekaan ringkas dan longgar berbanding gaya glamor seperti sebelum ini.
Katanya, penggunaan fabrik berkualiti tinggi turut menjadi keutamaan dengan sebahagian material diperoleh dari Turkiye dan dihasilkan di Mekah, Jeddah serta Dubai.
Bagi koleksi berkenaan, Minaz memperkenalkan 37 rekaan Abaya selain 80 corak Minaz Hijab, 40 corak Minaz Scarf dan 140 rekaan tudung yang dihiasi batu Swarovski.
Harga Abaya ditawarkan bermula RM219 hingga melebihi RM500 bagi kategori premium manakala tudung pula dijual pada harga bermula RM69.
Beliau berkata, berikutan perubahan strategi yang tidak lagi tertumpu kepada koleksi Aidilfitri, Minaz menyasarkan jualan sekitar RM9 juta tahun ini berbanding RM14 juta yang dicatatkan menerusi jualan koleksi raya tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




