yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persiapkan diri untuk menjadi menjadi pemimpin pelajar yang terbaik, namun pastikan pada masa yang sama mempunyai ilmu dan adab.
Itu pesanan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu untuk memastikan mereka bukan saja menguasai ilmu berdasarkan bidang pengajian, kepimpinan malah perlu memiliki adab serta akhlak terpuji.
Katanya, keperluan untuk meletakkan adab seiring ilmu pengetahuan seakan-akan dilupakan oleh segelintir mahasiswa menyebabkan mereka tidak mempunyai jati diri yang kukuh.
“Hari ini adab adalah suatu perkara yang cukup kritikal. Kita melihat bagaimana manusia hari ini sudah lupa adab. Mereka ingin mengejar sesuatu demi nama dan agenda sendiri sehingga melupakan kepentingan adab.
“Saya ingin tekankan supaya saudara-saudari semasa menjadi pemimpin belajar sebanyak mungkin untuk menjadikan diri sebagai pemimpin terbaik, dan dalam masa yang sama mempunyai ilmu dan adab.
“Sudah pastilah tanggungjawab MPP untuk membantu universiti dalam menerangkan kepentingan ilmu dan adab,” katanya pada program Iftar Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UUM 2025/2026 hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Prof Dr Ram Al Jaffri Saad, Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dr Mazli Mutazam dan Yang di-Pertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Mohd Rezal.
Ahmad Martadha berkata, MPP juga perlu berperanan sebagai duta dengan membawa nama baik universiti dan memperkenalkan institusi pengajian itu kepada masyarakat.
“Gunakanlah peranan sebagai duta itu untuk membawa nama UUM ke persada yang lebih tinggi.
“Kita tidak mahu stigma negatif menghantui nama universiti seperti universiti kita. Saya selalu sebut bahawa usaha untuk menaikkan nama universiti ini memang sangat susah. Penuh dengan halangan, penuh dengan ujian.
“Tetapi untuk menjatuhkan nama universiti itu kadangkala cukup mudah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




