'Pernah rasa nak pengsan'

'Pernah rasa nak pengsan'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Shah Alam: Bermula dengan ajakan pekerjanya, pempengaruh, James Ng atau lebih dikenali sebagai Bos James, 34, menjadikan amalan berpuasa sebagai rutin setiap kali menjelang Ramadan sejak 2020.

Menceritakan pengalamannya, Bos James berkata, kebanyakan pekerjanya di beberapa kedai motosikal miliknya adalah berbangsa Melayu.

“Mula-mula saya puasa kerana staf. Pada tahun itu (2020), hanya sekali saja saya berpuasa. Tahun kedua (2021) pula saya berpuasa empat hari, tahun berikutnya enam hari, seterusnya 11 hari dan tahun lalu selama 24 hari.

“Pada tahun ini, awalnya saya sasar untuk puasa penuh sebulan tetapi saya ada miss‘ (tidak puasa) sehari ketika sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Setia Alam, semalam.

Berdasarkan pengalamannya, Bos James berkata, beliau pernah berasa seperti mahu pengsan ketika mula-mula berpuasa sebelum ini.

“Waktu itu, saya rasa lapar dan dahaga sampai nak pengsan. Mula-mula puasa juga, saya ada mengalami mood swing dan kerap marah kerana lapar.

“Namun kini, saya rasa badan lebih ringan apabila berpuasa. Jika dulu, saya memang kena sahur bila nak puasa tetapi sekarang saya boleh berpuasa walaupun tidak bersahur.

“Malah kini, saya masih boleh berpuasa meskipun berpanas dan ‘out station’ (bertugas di luar kawasan),” katanya.

Menurutnya, beliau banyak mendapat sokongan daripada rakan Muslim untuk meneruskan rutin berpuasa pada Ramadan setiap tahun.

“Jika dulu, saya buat (puasa) demi staf yang ramai Melayu kerana mahu teman mereka berpuasa. Kini, saya puasa demi kesihatan kerana perut rasa selesa apabila 12 jam tak makan dan minum.

“Pada masa sama, ia (puasa) juga boleh mengurangkan kurang tabiat tidak sihat, selain badan rasa ringan dan berat berat badan berkurangan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang menyatakan individu bukan Islam berpuasa pada Ramadan semata-mata untuk kandungan, Bos James berkata, dia tidak ambil pusing mengenai isu itu.

“Sebenarnya, saya buat content‘ (kandungan) berpuasa sebab nak ajak orang lain sama-sama berpuasa. Namun, mungkin ada orang salah faham anggap itu sebagai content semata-mata.

“Saya sendiri sudah berpuasa bertahun-tahun dan tidak mahu ambil pusing dakwaan itu. Apa yang penting, Tuhan tahu niat kita ikhlas.

“Pada bulan Ramadan juga, sudah menjadi acara tahunan bagi saya untuk memberikan sumbangan kepada sekolah agama dan madrasah. Pada tahun ini, sumbangan diberikan sebanyak empat kali iaitu setiap hari Jumaat,” katanya.

Migrain tak halang puasa penuh dua hari

Kesempatan berpuasa sempena musim Pra-Paskah mendorong seorang pengamal media beragama Kristian untuk berpuasa pada Ramadan buat pertama kali tahun ini.

Prisca Robin, 23, berkata, dia berpuasa lebih lapan jam buat pertama kali pada Jumaat lalu kerana kebetulan sambutan Ramadan kali ini serentak dengan musim Pra-Paskah iaitu orang Kristian berpuasa tahun ini.

“Kebiasaannya bagi penganut Katolik, setiap hari Jumaat, kami akan berpuasa dari memakan daging. Jadi, saya lihat ini adalah satu peluang untuk saya mencuba puasa penuh (tidak makan dan minum) seperti umat Islam lain.

“Kebetulan saya dikelilingi ramai rakan Muslim yang sekali gus menjadikan proses itu lebih mudah untuk berpuasa penuh. Saya rasa seronok apabila tahu kebaikan puasa ini,” katanya.

Prisca berkata, dia bersyukur apabila berjaya berpuasa penuh selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu lalu meskipun mengalami migrain sepanjang hari berkenaan.

“Pada dua hari itu, saya mengalami migrain agak teruk kerana tidak bersahur walaupun tidak ada rasa dahaga kecuali lapar dan lesu disebabkan tidak bangun sahur untuk makan dan minum.

“Apabila berpuasa seperti seorang Muslim, saya rasa seronok kerana sebagai Katolik pada musim Pra-Paskah ini kami juga berpuasa. Cuma puasa itu sedikit berbeza kerana kami masih dapat minum air dan makan.

“Berdasarkan pengalaman berpuasa selama dua hari ini, saya rasa seronok dan bangga kerana dapat mencabar diri untuk ikut serta berpuasa selain boleh ‘self reward‘ dengan membeli makanan di bazar Ramadan,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja restoran makanan segera, Eric Tan, 22, berkata, dia mahu mencuba pengalaman berpuasa buat pertama kali tahun ini.

“Saya mula berpuasa pada 1 Ramadan lalu. Sejujurnya, saya saja mahu mencuba dan merasai pengalaman berpuasa seperti mana rakan saya yang beragama Islam.

“Sehingga hari ini, setiap hari saya berpuasa, cuma tidak pernah penuh. Apabila petang kira-kira jam 6 petang, saya buka puasa,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia seronok apabila boleh berpuasa di samping rakan-rakan Muslim yang lain pada Ramadan kali ini meskipun tidak menamatkannya sehingga waktu berbuka.

“Berdasarkan pengalaman saya yang sudah lima hari berpuasa, ia sama sekali tidak mengganggu rutin harian termasuk ketika bekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top