Jangan biarkan warga asing 'masuk' bazar Ramadan

Jangan biarkan warga asing 'masuk' bazar Ramadan

am@hmetro.com.my

Seremban: Bukan sahaja peniaga bakal dikenakan tindakan malah penganjur bazar Ramadan di negeri ini turut berdepan risiko disenarai hitam jika menggunakan khidmat pekerja warga asing.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, bagaimanapun setakat ini keadaan di Negeri Sembilan masih terkawal dan belum ada penganjur bazar Ramadan diambil tindakan.

“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan syarat bazar Ramadan adalah untuk peniaga tempatan sahaja. Ia jadi platform untuk warga tempatan mencari pendapatan tambahan sempena Ramadan.

“Kerajaan negeri melarang sama sekali peniaga mahupun pekerja asing beroperasi di mana-mana bazar. Jika ada, PBT akan ambil tindakan membatalkan lesen dan merampas barang mereka,” katanya ketika diminta mengulas pembabitan warga asing di bazar Ramadan tadi.

Jelas beliau, pihak berkuasa khususnya PBT sentiasa melakukan operasi dan memantau bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi syarat termasuk mengenai warga asing.

“Setakat ini kami belum lagi sampai ke tahap merampas barang dan membatalkan lesen.

“Tapi jika berlaku, persatuan atau organisasi itu akan disenarai hitam untuk tahun-tahun akan datang. Mereka tidak akan dipilih pada tahun akan datang,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga mengesan kawasan panas pembabitan warga asing di bazar Ramadan terutamanya di Nilai dan Seremban yang mana akan diberikan tumpuan.

“Berdasarkan tahun sebelum, kawasan ini pernah ada rekod pembabitan warga asing dan kami memang pantau, kalau boleh biar penganjur sendiri yang ambil tindakan awal.

“Setakat ini belum ada mana-mana penganjur yang disenaraihitam. Di Negeri Sembilan, kita tidak ada apa-apa isu yang besar dan tahap pematuhan ini sangat tinggi.

Media pada Selasa lalu melaporkan operasi pembersihan warga asing di bazar Ramadan Seksyen 13, Laman Niaga Komuniti di Bandar Baru Bangi, Selangor menyaksikan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top