Solat menggunakan jubah bukan bermula daripada saya – Siti Nurhaliza

Solat menggunakan jubah bukan bermula daripada saya – Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung isu dirinya menunaikan solat tanpa telekung seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Siti, perkara berkaitan ibadat tidak wajar diperbesarkan apatah lagi dijadikan polemik, lebih-lebih lagi apabila penjelasan sudah diberikan oleh pihak yang lebih arif dalam hal agama.

“Saya merasakan soal ibadat tidak perlu saya balas kerana ustaz sudah pun memberikan penjelasan. Kita sebagai umat Islam sudah mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi nombor satu negara itu mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki diri serta amalan.

“Saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan berharap Allah memberikan kekuatan serta kesabaran. Bukan mudah menjadi anak seni, setiap perbuatan pasti menjadi perhatian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis iftar Jiwa Prihatin di sebuah hotel, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Siti menjelaskan pemakaian jubah ketika solat bukan sesuatu yang baharu dan bukan bertujuan mempengaruhi orang ramai.

“Solat menggunakan jubah bukan bermula daripada saya. Yang penting adalah menutup aurat dengan sempurna seperti yang dituntut agama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti tidak menafikan teguran yang diberikan boleh dijadikan peringatan, namun berharap ia tidak melampaui batas sehingga menimbulkan fitnah.

“Di media sosial, semua orang bebas memberi pendapat. Namun, jangan sampai menjurus kepada fitnah yang boleh mendatangkan dosa,” katanya.

Beliau turut enggan menyalahkan individu yang merakam foto tersebut, sebaliknya berpandangan isu timbul akibat reaksi segelintir pihak yang memperbesarkannya.

“Mungkin individu yang merakam gambar tidak berniat mencetuskan sensasi. Tetapi apabila ia diperkatakan, ia menjadi isu. Setiap orang perlu bertanggungjawab atas apa yang diperkatakan,” katanya.

Tambah Siti, sebagai figura awam, dirinya tidak terlepas daripada menjadi perhatian dalam pelbagai perkara.

“Apa sahaja yang saya lakukan pasti akan diperkatakan, sama ada berkaitan pakaian, konsert atau produk. Itu sudah menjadi lumrah,” katanya.

Siti juga menjelaskan beliau mampu menilai komen yang diterima, termasuk membezakan pandangan peminat dan pihak yang sebaliknya.

“Selagi saya mampu memberi perkara positif kepada masyarakat dan peminat, saya akan teruskan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat keadaan tertentu yang memerlukan dirinya bersuara.

“Tidak semua perkara perlu saya ulas. Tetapi jika perlu, saya akan bercakap berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri seni,” katanya.

Sebelum ini, tular gambar Siti menunaikan solat dengan mengenakan jubah selepas menghadiri majlis berbuka puasa, yang mengundang pelbagai reaksi netizen.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang menjelaskan bahawa solat tersebut adalah sah.

Menurut beliau, syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukan satu kewajipan, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat.

Scroll to Top